
LIVERPOOL boleh dikatakan semakin bersedia untuk mempertahankan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan selain memberi cabaran hebat di pentas Eropah.
Ini kerana skuad The Reds sudah diperkuatkan dengan dua pemain baharu, iaitu bek kanan, Jeremie Frimpong serta bintang Jerman, Florian Wirtz yang menelan perbelanjaan mencecah £114 juta (RM654 juta).
Tetapi, dengan jendela perpindahan masih terbuka luas, juara bertahan EPL itu mungkin akan membawa masuk lebih ramai muka-muka baharu kerana terdapat pelbagai posisi perlu diperkuatkan.
BACA LAGI: [VIDEO] Arne Slot balas budi, ketuai 'chant' Jurgen Klopp rai Liverpool juara EPL
BACA LAGI: Prestasi Spurs di pentas Eropah buat Arne Slot 'ragu-ragu' menang EPL Ahad ini
Bagaimanapun, usaha Liverpool tidak terhenti di situ kerana baru-baru ini, mereka dikaitkan dengan legenda bola sepak Belanda yang disebut-sebut akan menyertai barisan kejurulatihan Arne Slot.
Dia merupakan bekas kapten skuad The Oranje, Giovanni van Bronckhorst yang dikhabarkan bakal menjadi pembantu jurulatih kerana pengalamannya cukup berharga.
Ini kerana sebelum dilantik penganalisis khas perlawanan untuk UEFA awal tahun lalu, jurulatih tersebut pernah mengendalikan beberapa kelab iaitu Feyenoord, Rangers, Besiktas dan Guangzhou R&F.
Pencapaiannya dalam bidang kejurulatihan juga tidak mengecewakan kerana dia pernah menjuarai Liga Belanda pada 2016/17 selain pelbagai trofi lain sepanjang kariernya.
Van Bronckhorst berpeluang menikmati kejuaraan EPL ketika beraksi buat Arsenal.
Rekod tersebut membuatkan Liverpool dan Arne Slot berminat untuk mendapatkan khidmatnya bagi mengisi kekosongan ditinggalkan John Heitinga yang ditawarkan peranan pengurus bersama AFC Ajax.
Di samping pencapaian cukup baik sebagai jurulatih, pengendali berusia 50 tahun itu turut mempunyai pengalaman beraksi yang memberangsangkan apabila mewakili lambakan kelab ternama.
Ini termasuk gergasi bola sepak England, Arsenal FC yang diwakilinya selama dua musim dengan trofi EPL 2001/02 serta dua gelaran Piala FA pernah dijulang bersama skuad The Gunners.
Pengalaman tersebut akan membantunya dalam membantu Arne Slot membangunkan sebuah pasukan lebih lengkap, lebih-lebih lagi dalam usaha mereka menjuarai Liga Juara-Juara UEFA (UCL) bagi kempen akan datang. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram