
SETELAH sekian lama berteka-teki, akhirnya Negeri Sembilan FC mengumumkan pelantikan Nidzam Jamil sebagai Ketua Jurulatih Liga Super NSFC bagi musim 2025/2026.
Berita gembira itu diumumkan menerusi sebuah kenyataan rasmi oleh Pengerusi NSFC, Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai simbol komitmen berterusan kelab dalam memperkukuh persediaan pasukan dan menetapkan hala tuju baharu yang lebih progresif serta mampan.
Menurutnya, Nidzam Jamil merupakan individu yang berpengalaman luas dalam landskap bola sepak Malaysia, baik sebagai bekas pemain kebangsaan mahupun jurulatih berprofil tinggi.
BACA LAGI: 'Abang Botak' HM ikut jejak 3 bintang warisan, tak perlu masa lama cipta impak
"Kepakaran Nidzam Jamil dalam pembangunan pemain muda dan pendekatan taktikal yang moden diyakini mampu memperkasa NSFC dalam menghadapi saingan Liga Super yang semakin kompetitif.
"Berusia 45 tahun, beliau pernah berkhidmat dalam beberapa peranan penting termasuk sebagai Ketua Jurulatih Selangor FC pada musim lepas serta pernah mengemudi Felda United, AirAsia FC dan KL SPA FC.
"NSFC mengucapkan selamat datang kepada Mohd Nidzam Jamil dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penyokong serta pemegang taruh yang terus memberi kepercayaan dan sokongan yang tidak berbelah bahagi," katanya.
Di samping itu, NSFC turut mengumumkan perpindahan tiga bintang skuad kebangsaan yang disahkan oleh pengerusi pasukan iaitu Luqman Hakim Shamsudin, Azri Ghani dan Khuzaimi Piee.
“Bagi menjayakan visi ini, NSFC membuat keputusan untuk menandatangani beberapa pemain utama, antaranya penyerang Luqman Hakim Shamsudin, penjaga gol Muhd Azri Abd Ghani, dan pemain pertahanan Ahmad Khuzaimi Piee," ujarnya.
Perpindahan itu memperlihatkan keinginan Sang Rusa untuk bangkit selepas hanya menduduki tempat ke-12 liga pada musim 2024/25.
Sebelum menyertai Negeri Sembilan, Luqman pernah dikaitkan dengan perpindahan ke juara Piala Malaysia 2001, Terengganu FC, dia kini kembali ke Malaysia selepas berkelana di luar negara selama lima setengah musim.
Khuzaimi pula bukan asing dengan Negeri Sembilan. Ini kerana dia pernah beraksi untuk Sang Rusa pada 2022 sebelum menyertai Selangor.
Selepas menabur bakti bersama Kuala Lumpur City FC selama tiga musim, Azri berkelana ke Negeri Sembilan dan bakal bersaing dengan Aqil Razak untuk slot penjaga gol utama.
Sebagai tambahan, Sang Rusa juga dijangka memuktamadkan perpindahan beberapa pemain import bagi memperkuat cabaran untuk musim 2025/26. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram