[VIDEO] Trauma dikelilingi ratusan mayat, Ramesh mangsa tunggal terselamat nahas Air India hanya cedera ringan


  • Benua
  • Jumaat, 13 Jun 2025

Ramesh Vishwaskumar, seorang warga Britain yang berada di tempat duduk 11A, terselamat dalam tragedi yang meragut nyawa 241 penumpang dan anak kapal lain. — Agensi

DALAM insiden menyayat hati yang melibatkan pesawat Air India Boeing 787-8 Dreamliner, seorang lelaki muncul dari api yang marak dan serpihan pesawat dalam keadaan cedera dan trauma, namun masih bernyawa.

Dialah satu-satunya mangsa yang terselamat dalam nahas yang meragut nyawa 241 penumpang dan anak kapal lain.

Mangsa dikenali sebagai Ramesh Vishwaskumar, 40, seorang warga Britain yang duduk di tempat duduk 11A, barisan pertama kelas ekonomi.

BACA LAGI: [VIDEO] Pesawat Air India ke London bersama lebih 240 penumpang terhempas sejurus berlepas di Ahmedabad

BACA LAGI: [VIDEO] Tiada rakyat Malaysia terlibat dalam nahas pesawat Air India – Wisma Putra

Dalam tempoh hanya 30 saat selepas pesawat berlepas, satu letupan kuat kedengaran sebelum pesawat menjunam dan terbakar selepas merempuh sebuah bangunan.

“Saya dengar bunyi letupan yang kuat. Apabila saya tersedar, ada mayat di sekeliling saya. Saya panik, terus bangun dan lari. Serpihan kapal terbang ada di merata tempat,” katanya kepada media tempatan.

Ramesh yang dilaporkan terjun dari pesawat itu mengalami kecederaan akibat hentakan pada dada, mata dan kaki namun keadaannya dilaporkan stabil.

Menurut doktor, kecederaannya tidak mengancam nyawa, tetapi trauma psikologi yang dialaminya dijangka berpanjangan.

Satu rakaman video yang kini tular di media sosial menunjukkan detik Ramesh berjalan terhincut-hincut keluar dari serpihan pesawat dengan pakaian koyak dan wajah berlumuran darah, gambaran jelas perjuangannya untuk terus hidup.

Ramesh, yang telah menetap di London sejak dua dekad lalu bersama isteri dan seorang anak, pulang ke India untuk kunjungan singkat bertemu keluarga.

Namun, lawatan itu bertukar menjadi mimpi ngeri apabila pesawat yang dinaikinya terhempas sejurus berlepas.

Lebih menyayat hati, abangnya, Ajay Vishwaskumar, turut berada dalam penerbangan yang sama dan kini dilaporkan hilang.

Ramesh kini menerima rawatan di hospital selepas dibawa dengan ambulans dari lokasi kejadian. Siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar nahas yang mengorbankan ratusan nyawa itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram