'Abang Botak' HM ikut jejak 3 bintang warisan, tak perlu masa lama cipta impak


  • Podium
  • Khamis, 12 Jun 2025

Detik bersejarah tercipta buat Harimau Malaya apabila berjaya menewaskan Vietnam dengan keputusan 4-0 dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027. — Facebook/Malaysia NT

PENYERANG warisan terbaru skuad kebangsaan, Joao Figueiredo kini mencuri tumpuan peminat bola sepak tanah air selepas mempamerkan aksi memukau dalam penampilan sulungnya bersama Harimau Malaya.

Tanpa membuang masa, Figueiredo membuktikan kehebatannya dengan jaringan pada minit ke-49 ketika menentang Vietnam, satu pasukan yang dianggap antara yang terkuat di Asia Tenggara.

Aksi cemerlang Figueiredo bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam dalam hati peminat, malah turut menyumbang kepada kemenangan bersejarah 4-0 ke atas Vietnam dalam pusingan ketiga Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027.

BACA LAGI: [VIDEO] Jagalah kebajikan, Indra Putra selari hasrat penyokong mahu kebangkitan bola sepak Kelantan

BACA LAGI: Kalau ada peluang, saya mahu melatih Selangor FC — Honda

Joao Figueiredo mencetak satu gol buat Harimau Malaya. Facebook/Malaysia NT

Kemenangan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur itu menamatkan penantian hampir sedekad untuk mengatasi seteru serantau tersebut.

Kehadiran Figueiredo dalam skuad Harimau Malaya nyata tidak menghampakan dan membuka lembaran baharu bagi pasukan kebangsaan untuk kembali mencipta kejayaan di pentas Piala Asia.

Sebagai pemain warisan, Figueiredo dilihat sebagai sinar harapan baharu yang mengikut jejak langkah tiga pemain warisan terdahulu yang pernah mencipta impak besar.

1. Brendan Gan

Brendan Gan menyertai skuad Harimau Malaya sebagai pemain warisan secara rasmi pada 2016.

Debutnya berlaku ketika era Datuk Ong Kim Swee dalam perlawanan persahabatan menentang Myanmar pada Jun 2016.

Tonggak The City Boys, Brenda Gan. Facebook/FAM

Sejak kemunculan pertamanya, Brendan telah merekodkan 38 penampilan dan satu gol bersama Harimau Malaya.

Tonggak Kuala Lumpur City FC itu kini menjadi antara pemain warisan paling konsisten dan berpengaruh, terutama di bahagian tengah pasukan.

Namun, namanya kini kurang menjadi pilihan utama, berkemungkinan besar akibat persaingan sengit dalam kalangan pemain berkualiti di posisi tersebut.

2. Hector Hevel

Pemain warisan baharu, Hector Hevel turut menampilkan aksi cemerlang dalam perlawanan sulungnya bersama skuad kebangsaan dengan menjaringkan gol pada minit ke-29 menerusi rembatan padu dari luar kotak penalti.

Hevel diperkenalkan sebagai pemain berdarah warisan sewaktu kem latihan pusat sebelum perlawanan menentang Nepal pada Mac lalu.

Pemain tengah Harimau Malaya, Hector Hevel. Facebook/Malaysia NT

Kejayaan membantu Malaysia menewaskan Nepal 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada Mac lalu menjadi permulaan manis bagi pemain naturalisasi ini.

Sebelum ini, Hevel beraksi di Liga Divisyen 2 Portugal bersama Portimonense SC dan kini bakal menyarung jersi Harimau Selatan pada musim depan.

3. Corbin Ong

Corbin Ong, nama yang cukup dikenali dalam arena bola sepak tempatan, khususnya di Johor Darul Ta’zim (JDT), membuat penampilan pertamanya bersama Malaysia pada Jun 2019.

Jurulatih ketika itu, Tan Cheng Hoe memberi peluang buat pemain kelahiran London, England itu untuk turun beraksi semasa aksi persahabatan menentang Nepal di laman sendiri.

Bagaimanapun, impak sebenar Corbin Ong dapat disaksikan pada perlawanan kedua di peringkat antarabangsa apabila dia menjaringkan gol dalam kemenangan negara ke atas Timor Leste.

Corbin Ong turut menempah nama selaku penjaring buat Harimau Malaya. Facebook/Malaysia NT

Sejak itu, pemain yang kini berusia 34 tahun itu menjadi watak utama dengan kehadiran dan impaknya amat ditagih dalam semua perlawanan, baik dari segi serangan dan pertahanan meskipun sudah semakin berumur.

Manisnya lagi, Corbin Ong terus menunjukkan prestasi cemerlang apabila mencipta sejarah peribadi dengan menjaringkan satu gol menentang Vietnam pada Selasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram