
HARIMAU Malaya menerima amaran awal apabila penyerang naturalisasi Vietnam, Nguyen Xuan Son memuat naik satu hantaran di Instagram Story miliknya yang dilihat seolah-olah memberi bayangan mahu membalas dendam terhadap Malaysia.
Dalam perkongsian tersebut, pemain berdarah Brazil berusia 28 tahun itu hanya memaparkan tarikh 31 Mac 2026 iaitu tarikh perlawanan terakhir Kumpulan F dalam Kelayakan Piala Asia 2027 yang menyaksikan Vietnam bakal menerima kunjungan Malaysia dalam aksi timbal balik.
Meskipun tidak menyertakan sebarang kapsyen, tarikh itu cukup untuk mencuri perhatian peminat bola sepak tempatan, terutamanya selepas kekalahan memalukan 0-4 yang dialami oleh skuad Vietnam di tangan Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur pada Selasa.
BACA LAGI: 'Saya tak peduli', Kinoshi enggan layan dakwaan Safuwan 'dibuang' Selangor FC
BACA LAGI: Kalau ada peluang, saya mahu melatih Selangor FC — Honda
Tangkap layar Insta Story Xuan Son.
Xuan Son atau nama sebenarnya Rafaelson tidak beraksi dalam perlawanan tersebut kerana masih dalam proses pemulihan kecederaan patah kaki yang dialaminya ketika final Kejohanan Asean 2024.
Namun, tindakan penyerang naturalisasi itu memuat naik tarikh pertembungan seterusnya memberi petunjuk jelas bahawa dia menyimpan tekad untuk bangkit dan memberi tentangan hebat di gelanggang sendiri kelak.
Bukan satu, bukan dua, malah empat jaringan berjaya dihasilkan Harimau Malaya dalam perlawanan bersejarah itu, masing-masing menerusi pemain warisan, Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado, La’Vere Corbin Ong dan Dion Cools sekali gus membuktikan bahawa Malaysia kini muncul sebagai pasukan yang semakin digeruni di pentas Asia Tenggara.
Vietnam, yang suatu ketika dahulu sering dianggap lawan sukar buat Malaysia, kini seolah-olah telah bertukar posisi menjadi pasukan yang bergelut untuk mengimbangi kekuatan baharu skuad kendalian Peter Cklamovski.
Kini, semua tumpuan pasti akan terarah kepada aksi timbal balik pada Mac tahun hadapan.
Persoalannya, mampukah Xuan Son menepati isyarat yang diberinya atau adakah Harimau Malaya akan sekali lagi mengaum di bumi lawan?. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram