
BANTUAN tambahan sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa tragedi kemalangan yang membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Jeli-Gerik, Perak pada Isnin lalu telah dipersetujui untuk disalurkan oleh kerajaan.
Menurut Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, keputusan tersebut telah dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini.
Beliau menjelaskan bahawa arahan untuk menyalurkan bantuan tambahan telah diarahkan oleh Perdana Menteri melibatkan RM10,000 kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia dan RM5,000 kepada mangsa yang cedera.
BACA LAGI: JPN tegaskan pengawal keselamatan tak berhak minta, imbas IC orang awam
BACA LAGI: Tidak setuju adakan PRK, Tengku Zafrul tekankan keputusan keluar Umno pilihan peribadi
“Perdana Menteri telah mengarahkan supaya bantuan tambahan sebanyak RM10,000 diberikan kepada setiap keluarga mangsa.
“RM10,000 kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia, RM5,000 kepada yang cedera.
“Arahan juga telah dikeluarkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk meneliti aspek insurans untuk membantu keluarga mangsa,” katanya.
Beliau berkata sedemikian pada sidang media mingguan di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Angkasapuri, Kuala Lumpur pada Rabu.
Turut hadir pada sidang media itu ialah Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Menurut Fahmi, Jemaah Menteri turut menzahirkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa dan mengarahkan agar segala bentuk bantuan disalurkan dengan segera. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram