
BADAN Bebas First Instance Body (FIB) mengesahkan bahawa Kelantan Darul Naim (KDN) FC, Kuala Lumpur (KL) City FC dan PDRM FC diberikan Lesen Kebangsaan penuh selepas berjaya memenuhi semua keperluan yang ditetapkan di bawah Peraturan Pelesenan Kelab Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Sebelum ini, ketiga-tiga kelab tersebut sudah diluluskan Lesen Kebangsaan secara bersyarat, dengan syarat perlu mengemukakan dokumen kewangan tambahan selewat-lewatnya pada 31 Mei 2025, selaras dengan Artikel 8 (l) Peraturan Pelesenan Kelab MFL.
Menurut Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif menerusi kenyataannya pada Khamis, pihaknya sudah menerima semua dokumentasi tambahan tersebut sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.
BACA LAGI: Nafi kelab tak selesai tunggakan gaji, KDN FC harap pemain faham situasi
BACA LAGI: Seorang lagi tonggak KDN bersuara, dakwa pengurusan tak telus lepas kenyataan rasmi
"Setelah meneliti dan menilai dengan teliti dokumen kewangan tambahan yang dikemukakan itu, FIB telah bersetuju untuk memberikan Lesen Kebangsaan penuh kepada ketiga-tiga kelab tersebut setelah mereka berjaya memenuhi segala keperluan pematuhan yang ditetapkan.
"FIB merakamkan penghargaan atas kerjasama yang diberikan serta komitmen tinggi pihak Kuala Lumpur City FC, Kelantan Darul Naim FC dan PDRM FC sepanjang proses ini dan mengucapkan selamat maju jaya dalam saingan Liga Super bagi musim 2025-2026," katanya.
Dengan skuad Kijang Emas sudah mendapatkan Lesen Kebangsaan mereka, ia sekali gus menutup kontroversi apabila sebelum ini pemain-pemain KDN FC mempersoalkan bagaimana MFL mampu memberikan lesen kebangsaan buat pasukan tersebut yang terpalit isu kewangan musim lalu.
Bekas pemain tengah Jasmir Mehat, membuat pendedahan di media sosialnya bahawa dia menyatakan kesediannya untuk melampirkan penyata kewangan untuk membuktikan pihak pengurusan kelab belum menyelesaikan tunggakan gaji.
Luahan dibuat Jasmir yang mempersoalkan bagaimana KDN FC boleh memperolehi lesen kebangsaan.
Memberi respons mengenai hal itu, Presiden KDN iaitu Rozi Muhamad menjelaskan, kelab itu kini dalam proses menyelesaikan baki tunggakan untuk Februari sehingga April 2025 manakala gaji pada Mei 2024 sehingga Disember 2024 sudah diselesaikan.
Dalam pada itu, kelab seperti Johor Darul Ta’zim FC (JDT), Selangor FC, Penang FC, Kuching City FC, Sabah FC, Terengganu FC, Sri Pahang FC, Negeri Sembilan FC sudah menerima Lesen Kebangsaan.
Manakala, dua kelab daripada AFL A1 iaitu Melaka FC dan Imigresen FC yang berjaya mendapatkan Lesen Kebangsaan Luar Biasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram