
Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.
TERLALU banyak bersabar dengan Mykola Ahapov, ketua jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad, seakan-akan memiliki firasat bahawa penyerang import dari Ukraine itu lambat-laun akan membalas kepercayaannya.
Kerajinan dan komitmen 100 peratus penyerang berusia 31 tahun itu dilihatnya akan menjadi aset pasukan di sebalik kadar jaringannya – cuma tiga gol dalam Liga Super 2024/2025 – dilihat terlalu rendah untuk memuaskan hati jurulatih itu.
Tidak banyak diketahui mengenai penyerang bernilai €350,000 (kira-kira RM1.4 juta) ini yang didatangkan dari kelab liga Kazakhstan, Akzhayik Uralsk, dengan perpindahan percuma pada 22 Feb lalu.
BACA LAGI: Sri Pahang boleh rencat konsistensi JDT, Rajagobal harap final Piala Malaysia cukup 'thriller'
BACA LAGI: Harimau Kumbang tenang-tenang, duo peledak Sri Pahang mungkin tak turun aksi akhir Liga Super
Ahapov menjaringkan dua gol ketika bertemu Penang FC — Facebook/Sri Pahang FC
Di dalam liga, Agapov mungkin penyerang import baharu musim ini yang paling lewat membuat jaringan – dia buntu dalam 11 perlawanan berturut-turut -- dibandingkan dengan penyerang ditandatangani pasukan-pasukan dalam jendela perpindahan kedua yang tidak memerlukan masa yang panjang untuk memberi impak.
Membuat perbandingan dengan penyerang seperti Sebastian Avanzini (Negeri Sembilan FC), Dylan Wenzel-Halls (Penang FC), Joao Pedro (Sabah FC) dan Ali Olwan (Selangor FC) yang menghasilkan gol dalam penampilan sulung masing-masing, maka Ahapov dirasakan penyokong skuad Tok Gajah jauh tenggelam.
Malah, ia memerlukan Ahapov sebanyak 12 perlawanan liga untuk menyumbangkan gol sulungnya buat Sri Pahang FC ketika menang 1-0 ke atas Penang FC di Stadium Bandaraya pada 20 Oktober lalu.
Sejak itu, kemarau golnya berlarutan semula. Mungkin sudah tuahnya, sentuhan jaringannya kembali ketika berdepan Penang FC sekali lagi dalam aksi terakhir liga yang dimenangi tuan rumah dengan keputusan dramatik 3-2 di Stadium Perbandaran Temerloh, Sabtu lalu.
Bukan satu tapi dua gol sumbangannya – pertama dari hantaran lolos Sergio Aguero pada minit ke-18 dan gol kemenangan hasil sungkitan cantik ketika berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol lawan, Wahiey Amir, pada minit ke-87.
“Saya gembira untuk Mykola kerana selalu berusaha keras. Walaupun dia selalu bermain sepenuhnya, ini hari terbaik dia bermain,” kata Fandi selepas perlawanan itu.
Jika ada rezeki, Ahapov pasti mahu menjaringkan gol untuk Sri Pahang dalam perlawanan akhir Piala Malaysia. — Facebook/Sri Pahang FC
Ia adalah penyuntik semangat dicari-cari Fandi yang akan ketiadaan Kpah Sherman dan Manuel Hidalgo – masing-masing kerana penggantungan dan dasar pemain pinjaman dari Johor Daul Ta’zim (JDT) – di barisan serangan ketika turun beraksi dalam perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Sabtu ini.
Sejauh mana pentingnya khidmat Ahapov pada pandangannya untuk cuba-cuba menguji pertahanan JDT dalam aksi kemuncak itu?
“Tak mungkin dia lebih penting pada saat ini kerana dia (Ahapov) adalah satu-satunya penyerang yang kami ada (tanpa Sherman dan David Rowley yang cedera). Dia pun tahu harapan dan tanggungjawab besar yang tergalas di bahunya dan kesedaran itu diharap akan menjadi dorongan tambahan buatnya,” kongsi Fandi dengan Bola Pegun.
Sebagai rekod, Ahapov mendapat kepercayaan jurulatihnya itu dalam 23 perlawanan liga – bermula dalam kesebelasan utama sebanyak 17 kali dan masuk selaku pemain gantian dalam enam perlawanan -- pada musim yang baru berakhir.
Tentulah ada sesuatu istimewa yang dilihat Fandi pada penyerangnya itu?
Dalam satu temu bual Bola Pegun pada 22 Oktober lalu, Fandi berkongsi bahawa Ahapov seorang pemain yang sentiasa bekerja keras tapi ada kalanya mencuba terlalu bersungguh-sungguh hingga meletakkan terlalu banyak tekanan ke atas dirinya untuk menjaringkan gol.
“Saya selalu nasihatkannya supaya jangan terlalu mudah hilang bola apabila mendapatnya. Mainkan bola dengan mudah dan gunakan ruang-ruang yang ada. Saya beritahunya kalau pun dia tidak jaringkan gol, dia hendaklah berusaha menyumbang buat pasukan dengan membantu jaringan buat rakan,” katanya.
Menjelang final Sabtu ini, pesanan Fandi kepadanya tidak banyak berubah kecuali peranannya dalam pasukan ketika ini ada sedikit berbeza.
“Dia selalunya bermain di bahagian sayap kiri kerana ada Kpah di tengah-tengah. Dengan Kpah tidak diturunkan dalam perlawanan terakhir (menentang Penang FC), Mykola diberi peranan selaku penyerang utama dan dia nampak tidak mengecewakan (dengan dua golnya).
“Saya sukakan cara pemikirannya dengan sentiasa mahu menjadi kreatif tapi dia perlu bijak menggunakan kelebihan dimilikinya. Dia pemain yang laju, kadar kerjanya sangat tinggi tapi ada kalanya mahu menunjuk-nunjuk dengan cuba menggelecek berlebihan,” katanya.
Ditanya Ahapov mungkin menyimpan aksi terbaiknya untuk final dan tampil selaku wira tidak diduga buat Sri Pahang, Fandi memilih untuk berdiplomasi: “Katakanlah itu lagi… dan lagi. Banyak-banyak kali pun tak mengapa.
“Tapi apa saja boleh berlaku dalam final. Mykola? Siapa tahu dia menyimpan yang terbaik daripadanya untuk final ini,” katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram