Lepas sambar Aguero dan bek Filipina, pencabar baharu wajar rekrut 3 bintang Asean All Star


  • Podium
  • Isnin, 09 Jun 2025

Pemain-pemain dari Asean All Star sesuai dipantau DPMM FC. — Instagram/Sergio Aguero

PENCABAR baharu Liga Super, DPMM FC menjadi antara pasukan yang semangat membawa masuk beberapa pemain bagi memperkuatkan pasukan mereka menjelang saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.

DPMM yang sebelum ini beraksi di Liga Perdana Singapura (SPL) untuk kempen 2024/2025 menjadi salah satu daripada 14 muka baharu Liga Super bagi musim 2025/2026. Selain mereka, dua kelab dari Liga A1 iaitu Melaka FC dan Imigresen FC turut memeriahkan saingan.

Setakat ini, pasukan berpangkalan di Brunei berkenaan sudah mula mendapatkan pemain baharu dengan merekrut bintang Indonesia iaitu Ramadhan Sananta serta pemain Penang FC, Fairuz Zakaria.

BACA LAGI: Bintang Sabah antara 3 alternatif DPMM FC lepas gagal sambar Akhyar Rashid

BACA LAGI: 'Liga Super jenama besar Asia Tenggara', DPMM FC teruja sah kembali bersaing di Malaysia

DPMM juga membawa masuk Amani Aguinaldo dari Filipina bagi memperkuatkan bahagian pertahanan mereka pada musim depan. Pemain itu baru-baru ini terlibat dalam aksi Asean All Star menentang Manchester United di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 28 Mei lepas.

Terbaharu, DPMM juga difahamkan bakal membawa masuk pemain tengah kebangsaan iaitu Sergio Aguero dengan perpindahan pemain berusia 31 tahun itu diumumkan pengurusan kelab di platform rasmi mereka.

Aguero mendapat pujian daripada Amorim. — Instagram/Sergio Aguero

Aguero yang juga merupakan tonggak Sri Pahang itu baru-baru ini mencuri perhatian apabila mendapat pujian daripada pengurus Manchester United, Ruben Amorim susulan kualitinya mengawal tengah dengan baik sehingga berjaya menundukkan United dengan keputusan 1-0.

Melihat dua pemain Asean All Star berkenaan direkrut DPMM FC, pasukan terbabit boleh lagi meluaskan pencarian mereka dalam kalangan skuad projek istimewa itu untuk memperkuatkan pasukan dalam saingan Liga M musim depan.

1) Hai Long Nguyen

Hai Long tampil dengan aksi cemerlang ketika menentang Man United. — Instagram/HaiLong

Salah seorang pemain yang menyinar dalam perlawanan berkenaan adalah bintang Vietnam iaitu Hai Long Nguyen selepas pemain tengah itu diberikan peluang untuk beraksi dalam separuh masa permainan.

Selain berani melakukan percubaan berbahaya, bintang Hanoi FC itu berkali-kali mengganggu benteng pertahanan Manchester United menggunakan kepantasan dan kelincahan sepanjang separuh masa permainan.

Persembahan memukau itu sudah cukup untuk memberi isyarat kepada kelab-kelab Liga Super termasuk DPMM FC untuk segera mendapatkan khidmatnya bagi mengawal bahagian tengah dan bahkan, jentera serangan mereka.

Di peringkat kelab, pemain yang juga mampu beraksi sebagai penyerang sayap kanan berkenaan merekodkan lima gol dan dua bantuan jaringan dalam 21 perlawanan domestik Hai Long untuk Hanoi FC.

Pemain berusia 24 tahun tersebut juga merupakan pemain skuad kebangsaan Vietnam apabila Hai Long sudah merekodkan 10 kaps dengan mencatat empat jaringan gol di bawah kendalian jurulatih, Kim Sang-sik.

2) Maung Maung Lwin

DPMM FC disaran mempertimbangkan untuk merekrut penyerang sayap kanan Lamphun Warrior, Maung Maung Lwin selepas pemain berkenaan menunjukkan prestasi luar biasa dalam aksi persahabatan baru-baru ini.

Pemain kebangsaan Myanmar berkenaan menjadi wira pasukannya apabila menjaringkan satu-satunya gol kemenangan pada minit ke-72 permainan dan sekali gus, mengecewakan Man United untuk mencipta memori indah di Malaysia.

Jaringan tersebut bukan sahaja membuktikan ketajaman serangan yang dimiliki pemain berusia 29 tahun itu, malah turut mencuri perhatian peminat bola sepak serantau yang melihat potensinya untuk beraksi di pentas lebih tinggi.

Selain kepantasan dan kawalan bola yang mengagumkan, pengalaman Maung Maung dalam saingan Liga Thailand menjadikan pemain itu aset berharga yang boleh memberi impak segera dalam Liga Super Malaysia.

Sekiranya DPMM FC serius mahu mencabar kejuaraan dan melangkah lebih jauh dalam saingan Liga Super musim depan, perekrutan pemain seperti Maung Maung wajar dipertimbangkan dengan segera oleh pihak pengurusan.

3) Haziq Nadzli

Antara aksi Haziq menyelamatkan percubaan pemain Man United. — Instagram/HaziqNadzli

Selepas Fairuz dan Aguero, DPMM FC boleh cuba membawa masuk penjaga gol berpengalaman Liga Malaysia iaitu Haziq Nadzli selepas kelabnya, Perak FC disahkan tidak lagi beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.

Haziq yang juga bermain dalam aksi persahabatan menentang Man United itu menyaksikan dia diturunkan sebagai penjaga gol gantian pada separuh masa kedua bagi menggantikan Patiwat Khammai.

Kejayaan itu menyaksikan pemain berusia 27 tahun itu menjadi penjaga gol Malaysia kedua yang menafikan United daripada menjaringkan gol.Sebelum ini, penjaga gol legenda Sabah, Peter Rajah menjadi orang pertama yang membuatkan United berputih mata.

Bersama Perak, Haziq memainkan peranan penting selaku benteng terakhir skuad The Bos Gaurus  dengan mencatatkan 19 penampilan dan enam perlawanan tanpa bolos, sekali gus menambat semula tempatnya dalam skuad kebangsaan.

Persembahan bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) berkenaan membantu Perak untuk mengharungi musim baik apabila menghuni kedudukan pertengahan liga di tempat ketujuh setakat 23 perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram