Jentera serangan tumpul, Sabah sedia bertarung dengan KL demi khidmat Kpah Sherman


  • Podium
  • Selasa, 10 Jun 2025

Tidak mustahil Kpah Sherman meninggalkan skuad Tok Gajah yang tidak diketahui status dalam Liga Super musim depan. — Facebook/Sri Pahang FC

MESKIPUN menamatkan kempen 2024/25 dengan rekod jaringan ketiga terbaik dalam Liga Super, Sabah FC perlu mengakui jentera serangan mereka masih belum cukup meyakinkan memasuki musim baharu.

Ini kerana penggempur utama, Darren Lok yang semakin berusia terus dibelenggu masalah kecergasan sementara masa depan Joao Pedro yang dipinjamkan ke pasukan Vietnam, Ho Chi Minh City FC masih belum diputuskan masa depannya.

Situasi itu mendesak kelab Borneo tanah air tersebut untuk bertindak pada jendela perpindahan kali ini dengan membawa masuk mana-mana pemain bersesuaian untuk mengemudi barisan hadapan pasukan.

BACA LAGI: Lepas Ibrahim Manusi, Kpah Sherman dijangka tinggalkan Sri Pahang bawa diri ke Indonesia

BACA LAGI: Lupakan seketika Hidalgo-Kpah, Saravanan antara 3 calon finisher Pahang hadapi JDT final Piala Malaysia

Darren Lok yang semakin berusia tidak lagi dapat membantu skuad Sang Badak secara kerap. Facebook/Sabah FC

Usaha tersebut sudah tentu mudah buat skuad Sang Badak kerana terdapat lambakan pilihan di pasaran ketika ini selepas beberapa kelab dibubarkan, sekali gus membuatkan sesetengah penyerang berstatus ejen bebas.

Antara yang seperti sedang berada dalam radar pasukan itu ialah penyerang merangkap kapten Sri Pahang FC, Kpah Sherman selepas dia dilihat masih berminat meneruskan karier dalam Liga Super.

"Kpah Sherman difahamkan sedang diperhatikan dua kelab tempatan yang berminat dengan khidmatnya iaitu Kuala Lumpur (KL) dan Sabah," tulis pemerhati bola sepak tempatan, T Avineshwaran di laman X peribadinya.

Pengalaman luas dimiliki penyerang kebangsaan Liberia itu dalam Liga Super merupakan aset utama meskipun usia pemain berkenaan sudah menjangkau 33 tahun yang pasti memberi kesan terhadap tahap kecergasannya.

Skuad Sang Badak belum dikaitkan dengan mana-mana pemain menjelang pembukaan jendela perpindahan. Facebook/Sabah FC

Bagaimanapun, bersama skuad Tok Gajah musim lalu, Kpah memainkan peranan besar dengan 11 gol dan tiga bantuan jaringan dalam semua kejohanan dengan tiga jaringan dicetak dalam kempen Piala Malaysia membantu pasukan itu ke pentas akhir.

Kebolehannya memikul peranan kapten juga akan membuatkan Sabah FC bersedia bertarung dengan KL City FC untuk mendapatkan khidmatnya meskipun ia akan menjadi kali pertama pemain tinggi lampai berkenaan beraksi di Borneo tanah air.

Setakat ini, pasukan kendalian Martin Stano itu masih belum melakukan sebarang aktiviti menjelang pembukaan jendela perpindahan dengan semua khabar angin bertebaran di media sosial belum disahkan.

Antara nama difahamkan bakal ditunjukkan jalan keluar ialah bek tengah, Gabriel Peres yang dikhabarkan akan ke Indonesia sementara Stuart Wilkin dan Dominic Tan dilaporkan berada dalam radar kelab Thailand.

Dari segi rekrut baharu pula, Sabah FC belum dikaitkan dengan mana-mana pemain lokal mahupun import meskipun terdapat banyak aspek perlu diperbaiki memasuki musim baharu nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram