Prestasi Spurs di pentas Eropah buat Arne Slot 'ragu-ragu' menang EPL Ahad ini


  • Podium
  • Sabtu, 26 Apr 2025

Liverpool kini hanya selangkah lagi daripada kejuaraan liga. — Agensi

PENGENDALI Liverpool, Arne Slot menegaskan bahawa persiapan pasukannya menjelang pertembungan penting menentang Tottenham Hotspur di Anfield, Liverpool, England pada Ahad tetap seperti biasa meskipun berpeluang dimahkotakan sebagai juara Liga Perdana Inggeris (EPL).

Jika The Reds berjaya mengelak kekalahan menentang Spurs, gelaran liga akan menjadi milik mereka, sekaligus membuka ruang kepada penyokong untuk meraikannya secara bersemuka buat kali pertama dalam tempoh 35 tahun, selepas kejayaan musim 2019/2020 diraikan dalam suasana pandemik.

Bercakap dalam sidang media pra-perlawanan pada Jumaat, Slot menjelaskan bahawa pasukannya perlu kekal fokus dan menganggap perlawanan ini seperti 33 aksi liga yang telah mereka lalui sebelum ini.

BACA LAGI: Tersenyum bersama, Salah bagi ‘hint’ jelas TAA kekal di Liverpool?

BACA LAGI: Siap ada tatu 'YNWA', bintang Sepanyol seakan tawar diri perkuat Liverpool

"Ini satu tanggungjawab besar kerana kami tahu kali terakhir kelab ini menang liga adalah semasa COVID. Semua orang menanti Ahad ini, tapi kami masih perlukan sekurang-kurangnya satu mata," katanya.

Pengendali dari Belanda itu turut menyeru para penyokong agar terus memberikan sokongan penuh seperti sepanjang musim ini, sambil mengingatkan bahawa perlawanan menentang Tottenham bukan mudah memandangkan lawan juga sedang memburu kejayaan di pentas Eropah.

Slot mahu menganggap perlawanan ini seperti 33 aksi liga yang telah mereka lalui sebelum ini. — Agensi

"Mereka mahu ke Bodo/Glimt dengan persediaan terbaik. Kami hanya fokus kepada Tottenham, dan akan persiapkan pasukan seperti biasa," jelasnya.

Ketika ditanya sama ada dia mampu menikmati perlawanan bersejarah ini, Slot mengakui emosi sebenar hanya hadir selepas wisel penamat ditiup.

"Saya memang suka ke Anfield, tetapi fokus hanya kepada menang. Nikmat sebenar hanya berlaku selama tiga hingga lima minit selepas wisel penamat. Lepas itu, kembali kepada rutin sebagai pengurus untuk urus pemain, media dan sebagainya," kongsinya.

Liverpool kini hanya selangkah lagi daripada kejuaraan liga, namun bagi Slot dan pasukannya, kerja belum selesai. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram