
IMPIAN Malaysia untuk menyaksikan Harimau Malaya layak ke Piala Dunia mungkin tertangguh, namun kita masih boleh memainkan peranan menjadi penentu kepada negara Asia manakah akan ke kejohanan tersebut pada 2026.
Hal ini kerana, Malaysia dikatakan berpotensi menjadi tuan rumah kepada aksi pusingan keempat kelayakan Piala Dunia 2026 zon Asia yang bakal bermula pada 8 hingga 14 Oktober kelak.
Menurut pemerhati bola sepak Oman, Issa Saeed, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dilaporkan sedang menyediakan lima negara yang dilihat berpotensi menjadi tuan rumah kepada pusingan tersebut.
BACA LAGI: [VIDEO] Malaysia boleh ikut cara Uzbek jika layak ke Piala Asia
"Beberapa negara dicalonkan untuk menjadi tuan rumah pusingan play-off Piala Dunia sekiranya mereka (AFC) memilih untuk menggunakan gelanggang neutral akibat beberapa pasukan yang melakukan protes mahukan sedemikian.
"Negara-negara tersebut adalah Kuwait, Malaysia, Bahrain Jordan dan Thailand," katanya.
Sebelum ini, terdapat ura-ura mengatakan yang AFC akan memiliih sama ada Arab Saudi atau Qatar sebagai tuan rumah bagi pusingan keempat kelayakan. Namun ia mendapat bantahan daripada negara lain kerana kedua-dua negara itu masih berpeluang ke Piala Dunia.
Pusingan keempat kelayakan Piala Dunia 2026 zon Asia menyaksikan Arab Saudi dan Qatar diletakkan dalam balang satu, sementara Emeriah Arab Bersatu dan Iraq di balang dua. Manakala, Indonesia dan Oman di balang tiga.
Keenam-enam negara akan diletakkan dalam dua kumpulan disertai tiga negara dengan dua juara kumpulan akan layak ke pusingan akhir Piala Dunia.
Sementara dua naib juara kumpulan akan ke pusingan kelima kelayakan dan perlu melalui perlawanan play-off antara benua untuk mengetahui nasib ke Piala Dunia.
Jika Malaysia dipilih sebagai tuan rumah, sudah pasti reaksi pelbagai akan disuarakan oleh penyokong Indonesia mengenai keputusan itu.
Sedang mereka berpeluang mencipta sejarah layak ke Piala Dunia di tanah air kita, seandainya kecundang pasti sentimen "kantor (pejabat) AFC di Malaysia" akan berkumandang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram