
IMPAK yang dibawa oleh pemain warisan jelas berada di kelas tersendiri apabila kehadiran tujuh pemain campuran membantu Malaysia membelasah Vietnam 4-0 dalam aksi kedua Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur pada Selasa.
Lima tonggak warisan yang tiba pada kem kali ini ialah Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado, Jon Irazabal dan Facundo Garces. Manakala, Gabriel Palmero dan Hector Hevel sudah tiba sejak Mac lepas.
Walaupun pada awalnya kehadiran mereka dipertikaikan oleh sesetengah rakyat Malaysia susulan susur galur mereka, tujuh pemain itu masih menunjukkan kesungguhan untuk Harimau Malaya dengan menampilkan persembahan cemerlang.
BACA LAGI: Fans Harimau Kumbang restui Rafael Vitor pergi kelab Brazil berbanding ke JDT
Kesan positif yang diberikan tujuh pemain warisan baharu itu membuatkan penyokong semakin bersetuju dengan revolusi dari Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan berharap lebih ramai bintang campuran gred A akan menyertai Harimau Malaya.
Permintaan untuk menyaksikan lebih ramai pemain warisan berkualiti dalam skuad kebangsaan sepertinya bakal menjadi kenyataan apabila tonggak Athletic Bilbao, Mikel Jauregizar dikatakan mempunyai darah Malaysia.
Dakwaan terbabit bermula apabila wartawan Thailand, Offeris Wichitchote membuat hantaran di Facebook miliknya bahawa pemain tengah berusia 21 tahun berkenaan bakal menyarung jersi Harimau Malaya.
"(Dari) separuh akhir UEL (Liga Europa) ke Harimau Malaya. Mikel Jauregizar ialah Malaysia," katanya ringkas.
Jauregizar yang kini bermain untuk skuad Bawah 21 (B-21) tahun Sepanyol merupakan pemain penting untuk Bilbao apabila musim ini dia tampil dalam 48 perlawanan untuk semua kejohanan. Dia meledak tiga gol dan tiga bantuan jaringan pada kempen 2024/2025.
Kualiti yang ditunjukkan Jauregizar sebagai pemain tengah itu juga menarik minat pasukan terkenal iaitu Liverpool dan Villareal untuk mendapatkan khidmatnya. Namun, bagi mendapatkan Jauregizar tidak mudah susulan kontraknya bakal berakhir pada penghujung 2027.
Jauregizar terkenal dengan sumbangan pertahanannya dan keupayaan terjahan yang kuat. Dia mempamerkan aksi cemerlang dalam La Liga dan Liga Europa, termasuk menjaringkan gol menentang Manchester United.
Sekiranya pemain muda gred A seperti Jauregizar mempunyai keturunan Malaysia dan mahu bermain untuk skuad kebangsaan, jelas ia memberi keuntungan banyak untuk Harimau Malaya terutama di bahagian tengah.
Bagaimanapun, masih tiada sebarang penjelasan mengenai susur galur pemain itu dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga tidak mengesahkan apa-apa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram