
PENGUMUMAN Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang membenarkan setiap kelab mengambil sehingga 15 pemain import nyata menggusarkan.
Mana tidaknya, dengan kebenaran itu, masihkah ada ruang untuk pemain tempatan beraksi setiap minggu? Atau mereka hanya sekadar penghuni bangku simpanan selepas ini?
Demi meneruskan karier, mungkin sudah tiba masa untuk para pemain tempatan mencuba nasib di luar negara menjelang musim baharu.
BACA LAGI: Rancak dengar pemain Malaysia dikait kelab luar, fikir-fikir dulu 2 faktor karier-kewangan
Masa untuk berani
Berpindah ke luar negara sememangnya memberikan satu cabaran buat pemain tempatan terutamanya menyertai kelab berada di wilayah Asia berbeza atau benua berlainan.
Perbezaan bahasa, budaya, cuaca pastinya menjadi satu perkara yang bakal dihadapi namun ia mungkin tidak terlalu 'keras' seandainya pemain berpindah ke liga-liga Asia Tenggara.
Wan Zack Haikal (kiri) pernah beraksi di Jepun.
Waktu ini, keberanian itu diperlukan oleh pemain tempatan untuk cuba membawa diri ke luar negara bagi meneruskan karier.
Ia adalah satu tindakan berani mati, namun jika kena caranya, boleh membawa hasil baik buat karier.
Bakat negara mula dipandang
Jika kita mengambil kira pada 20 tahun lalu, mungkin bakat-bakat dihasilkan oleh Malaysia tidaklah begitu menyerlah hinggakan ada kelab luar mahu mengambilnya.
Namun kini semuanya sudah berbeza, negara-negara jiran seperti Indonesia dan Thailand dilihat lebih terbuka untuk mendapatkan pemain Malaysia beraksi di sana.
Akhyar (kiri) dan Faisal (kanan) antara yang disebut akan berpindah ke luar negara musim depan.
Pemain-pemain seperti Akhyar Rashid dan Faisal Halim antara yang menjadi buruan beberapa kelab di dua negara tersebut memberikan petanda yang bintang negara mempunyai nilai tersendiri di mata kelab-kelab luar.
Sudah pasti, pemain-pemain lain juga boleh mencuba mendapatkan tempat di luar negara tidak kira di mana pun liganya.
Jika tidak, tingkatkan kualiti
Akan tetapi, beraksi di luar negara bukannya untuk semua orang. Tidak semua pemain yang berkelana di luar negara berjaya seperti diharapkan.
Namun begitu, tidak salah untuk pemain kita terus kekal di Liga Super dan mencuba mendapatkan tempat dalam skuad masing-masing musim depan.
Selangor antara kelab yang banyak menggunakan pemain import musim lalu.
Mereka perlu sedar yang kehadiran lebih ramai pemain import akan membuatkan cabaran merebut kesebelasan utama semakin sukar dan usaha perlu ditingkatkan sebanyak dua kali ganda.
Jika mereka berjaya menewaskan pemain import untuk merebut kesebelasan utama, sudah pasti pemain tempatan kita berjaya meningkatkan kualiti permainan apabila beraksi di padang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram