
DENGAN perginya Perak FC daripada Liga Super, timbul persoalan, akan adakah kelab Perak beraksi di Liga Malaysia?
Jawapannya adalah ya. Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) mengesahkan mereka akan menghantar pasukan untuk beraksi di Liga A1 sebagai platform menyiapkan skuad menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
Dengan menggunakan pemain muda, ke manakah arah yang hendak dituju oleh Perak? Adakah ia berbaloi untuk PAFA menghantar pasukan bertanding?
BACA LAGI: Tinggalkan TFC lepas 6 tahun, Argzim Redzovic pilih pindah ke Perak
BACA LAGI: Hampir lengkap, 3 tonggak Perak FC termasuk Wan Zack selangkah sarung jersi Harimau Kumbang
Bagi pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Karim berkata, situasi yang dilalui bola sepak Perak ketika ini adalah ibarat tidak ada rotan, akar pun berguna yang membawa maksud 'kalau tiada yang baik, maka yang kurang baik pun boleh juga'.
Dalam situasi Perak, walaupun tiada wakil di Liga Super, bermain di Liga A1 sudah memadai untuk meneruskan legasi bola sepak negeri itu.
"Ini adalah apa yang orang dulu-dulu kata, tidak ada rotan, akar pun berguna. Samalah halnya dengan, Perak FA atau PAFA yang tidak dapat bermain di Liga Super tapi masih boleh beraksi di Liga A1 atas nama Perak juga.
"Selain itu, PAFA akan dapat meneruskan kesinambungan pembangunan bola sepak Perak yang dimulakan sekali lagi dari bawah. Yang penting, kemeriahan bola sepak, di seluruh negeri Perak dalam menyatupadukan rakyat dapat diteruskan," kata Zulakbal kepada Majoriti.
Beraksi di Liga A1 merupakan pilihan terbaik buat Perak ketika ini. Walaupun ia sekadar liga bertaraf semi-pro, namun ia adalah yang terbaik buat mereka ketika ini.
Liga A1 mungkin tidak menghadirkan tahap kompetitif seperti di Liga Super yang profesional sepenuhnya. Namun begitu, ia adalah platform terbaik untuk membina kebangkitan Perak.
"Persoalannya kini, sama ada Perak ada lesen untuk main Liga Super atau tidak? Apa lagi pilihan yang mereka ada selain main saja Liga A1?
"Disebabkan itu, pilihan yang mereka ada adalah menjuarai Liga A1 dan meningkat sedikit demi sedikit. Jika boleh, suatu hari nanti, kembali memohon lesen Liga Super," ujar Zulakbal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram