Indonesia tidak lagi seperti dulu, FAM terlepas uji kematangan HM berdepan musuh tradisi


  • Podium
  • Isnin, 02 Jun 2025

Kali terakhir Malaysia bertemu Indonesia adalah ketika Piala Asean 2020 di Singapura.

TANPA kita sedar atau tidak, sudah lama Malaysia tidak bertemu Indonesia di mana-mana perlawanan kompetitif baik di peringkat Asia Tenggara mahupun Asia.

Jika disemak semula, kali terakhir Harimau Malaya bertemu Garuda adalah pada Piala Asean 2020 di Singapura yang menyaksikan Malaysia tumpas 1-4.

Sejak daripada itu, tiada lagi. Presiden Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir baru-baru ini ada menyuarakan hasrat untuk menyaksikan negaranya berdepan Malaysia.

BACA LAGI: 'Yang penting lawan Indonesia menang,' Nafuzi Zain diuji bertemu musuh tradisi Piala Asean B-23

BACA LAGI: Bantu kelab Indonesia layak ke Piala Shopee, Sony Norde dicanang berkelana ke India

Peluang untuk Indonesia mara ke Piala Dunia 2026 masih menyala. — AFC

Namun begitu, hasrat itu tidak selari dengan kemahuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Di sudut FAM, mereka lebih mahu fokus kepada persiapan berdepan negara-negara berada di kedudukan 100 terbaik FIFA seperti Cape Verde.

Jika diikutkan, tiada salahnya apa yang dilakukan oleh FAM itu. Cuma, Malaysia mungkin terlepas peluang untuk menguji kekuatan Indonesia yang sudah bertambah baik dari tahun ke tahun.

Bagi pemerhati bola sepak tempatan, Afiq Rowley, peningkatan Indonesia sejak era Shin Tae-yong membuatkan penyokong kedua-dua negara teruja dan tertanya-tanya, apa akan jadi jika Harimau Malaya bertemu Garuda?

"Indonesia merupakan salah satu pasukan yang kuat Asia Tenggara kini dan ini peluang kita menguji sejauh mana kematangan Harimau Malaya untuk hadapi Garuda.

"Kedua-dua pasukan sudah berevolusi dengan pemain serta jurulatih baharu. Sudah tentu, para peminat sendiri tak sabar nak tahu siapa lagi kuat," kata Afiq kepada Majoriti.

Ada sesetengah pihak berpendapat agar perlawanan Malaysia dengan Indonesia ini kekal eksklusif semasa pertemuan kompetitif sahaja. Namun begitu, dengan sudah enam tahun tidak bertemu, bilakah kita akan bertemu mereka?

Jika mahu terus kekal dengan begitu, FAM perlu pastikan lawan-lawan mereka di perlawanan persahabatan terus kekal berkualiti tinggi seperti yang dilakukan ketika bertemu Cape Verde.

"Bila lagi nak jumpa waku perlawanan kompetitif? Bagus juga adakan satu aksi persahabatan eksklusif. Jangkaan saya, satu Asia Tenggara sendiri pun tak sabar menyaksikannya kerana ia ada daya tarikan tersendiri.

"Jika FAM mahu terus kekal dengan cara mengadakan aksi persahabatan dengan negara di ranking 100 terbaik dunia, boleh saja. Dengan syarat sentiasa mendapatkan lawan berkualiti. Kita tak boleh lagi sekadar bertemu negara yang bola sepak mereka sendiri kurang berkembang.

"Jika menang, ia nampak lebih pada syok sendiri. Bukan hadapi pasukan kuat terus. Sekurangnya lebih mencabar seperti Cape Verde dan Harimau Malaya takkan sentiasa berada dalam zon selesa," ujar Afiq. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram