Masih belum dilamar, apa salahnya Akmal Rizal ketuai Kelantan, KL City atau Perak


  • Podium
  • Jumaat, 06 Jun 2025

Akmal Rizal masih tidak mempunyai sebarang kelab selepas dilepaskan oleh Penang.

SEMASA musim Liga Super sedang berehat, kita dapat saksikan yang berlakunya pergerakan keluar masuk melibatkan para pemain ke pelbagai kelab.

Waktu ini juga, pertukaran jurulatih sedang berlaku dengan setiap kelab sedang mencuba mendapatkan pengendali terbaik untuk mengetuai cabaran kelab masing-masing.

Salah satu yang berada dalam radar adalah Akmal Rizal Ahmad Rakhli. Tidak lagi bersama Penang FC, Akmal masih boleh dilamar oleh mana-mana kelab supaya bagi musim hadapan.

BACA LAGI: Tinggalkan TFC lepas 6 tahun, Argzim Redzovic pilih pindah ke Perak

BACA LAGI: Hampir lengkap, 3 tonggak Perak FC termasuk Wan Zack selangkah sarung jersi Harimau Kumbang

Kelantan Darul Naim FC

Salah sebuah kelab yang mungkin boleh menjadi destinasi buat Akmal adalah menuju ke Pantai Timur untuk bersama-sama Kelantan Darul Naim FC (KDN).

Seiring dengan revolusi bola sepak dilakukan di negeri itu, sudah pasti KDN memerlukan seorang jurulatih yang bersesuaian untuk mengetuai skuad Kijang Emas.

Elavarasan (kiri) sebelum ini bersama Kim Pan-gon dalam skuad kebangsaan.

Walaupun sebelum ini dikaitkan dengan bekas pembantu Kim Pan-gon di skuad kebangsaan iaitu E. Elavarasan, ia masih belum disahkan secara rasmi dengan kelab masih membisu mengenai itu.

Akmal dilihat calon yang sesuai untuk mengetuai revolusi itu. Dengan potensi sebagai pengendali muda, dia pasti mempunyai idea segar untuk dibawa ke skuad KDN.

Kuala Lumpur City FC

Tanpa disedari, persiapan melibatkan kelab Lembah Klang, Kuala Lumpur City FC menjelang musim baharu tidaklah serancak pasukan-pasukan lain.

Ia termasuklah dengan perubahan jurulatih. Sebelum ini, nama-nama seperti Fandi Ahmad dilihat sebagai calon untuk menggantikan Miroslav Kuljanac. Namun begitu, dilaporkan Fandi dan KL City tidak mencapai kata sepakat.

Fandi Ahmad merupakan calon kuat menjadi pengendali baharu KL City.

Hingga kini, teka-teki masih belum menemui jawapan dan Akmal boleh diletakkan di dalam radar bagi skuad Warga Kota mendapatkan pengendali baharu bagi musim depan.

Persaingan masih lagi terbuka untuk Akmal mencuba nasib untuk mengemudi kelab Lembah Klang. Jika berjaya, cabaran menarik menanti Akmal di Cheras.

Perak

Jika rezekinya tidak berada di Liga Super, Akmal mungkin boleh mencuba nasib mengendalikan kelab Liga A1 iaitu Perak.

Dengan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) kembali menghantar pasukan untuk bertanding di liga semi-pro negara, Akmal boleh mencuba nasib mengemudi mereka sebagai salah satu persiapan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

Cabaran menanti Akmal cukup menarik kerana skuad yang dibina terdiri daripada pemain-pemain muda. Sudah pasti, tugasnya adalah untuk membentuk dan mengembangkan para pemain Perak sehingga ia menjadi matang.

Akmal mempunyai potensi yang besar sebagai pengendali muda dan menjelang musim baharu, dia wajar diberikan peluang untuk mengendalikan mana-mana pasukan untuk membuktikan kebolehannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram