Rancak dengar pemain Malaysia dikait kelab luar, fikir-fikir dulu 2 faktor karier-kewangan


  • Podium
  • Rabu, 04 Jun 2025

Faisal Halim (kiri) dan Akhyar Rashid (kanan) diburu oleh kelab Indonesia dan Thailand.

MENJELANG musim baharu, kita dapat saksikan pelbagai khabar angin mengenai perpindahan keluar dan masuk melibatkan pemain di Liga Malaysia.

Malah, tidak kurang juga dengan berita perpindahan keluar melibatkan pemain negara ke liga asing seperti Liga 1 Indonesia serta Thai League 1.

Pemain-pemain seperti Faisal Halim, Akhyar Rashid dan Stuart Wilkin antara nama-nama wira negara yang mungkin beraksi di luar negara musim depan.

BACA LAGI: Laku macam pisang goreng panas, Stuart Wilkin bersama bintang TFC-Selangor dalam radar kelab Thailand, Indonesia

BACA LAGI: 'Liga Super jenama besar Asia Tenggara', DPMM FC teruja sah kembali bersaing di Malaysia

Faisal dikatakan dirisik oleh kelab Indonesia.

Tawaran beraksi di luar kelihatan bagus, namun begitu masih banyak perkara yang perlu dipertimbang sebelum mengatakan "ya" kepada peluang yang tiba.

Menurut pemerhati bola sepak tempatan, Afiq Rowley, tawaran beraksi di luar negara mungkin menarik, namun pemain mestilah mempertimbang beberapa perkara seperti perkembangan karier dan kewangan.

Perkembangan karier terletak kepada kemampuan kelab itu untuk menjamin tempat bagi pemain tempatan beraksi setiap minggu. Dari segi kewangan pula adalah kestabilan kelab untuk mereka tidak culas membayar gaji.

"Kerancakan kelab luar berminat dengan bakat tempatan adalah satu perkara yang bagus. Semakin banyak pihak luar memberikan tumpuan kepada kita. Jika dulu sukar untuk kita mendengar mana-mana kelab luar berminat dapatkan pemain kita terutamanya pemain senior.

"Namun begitu, jangan terus terima tawaran apabila ia tiba, kena pertimbangkan juga visi kelab, tahap kewangan dan latar belakang jurulatih. Apa yang saya risau, jika mereka pergi dan tak 'masuk' dengan sistem kejurulatihan, lepas tu karier mereka di luar negara habis begitu saja," kata Afiq kepada Majoriti.

Dalam pada itu, Afiq turut berpendapat yang pemain tempatan boleh saja untuk terus kekal di Liga Super bersama-sama kelab semasa sekiranya masih memegang watak penting dalam pasukan.

Pemain seperti Faisal Halim misalnya, mempunyai peranan besar bersama Selangor FC ditambah kelab itu bakal mewakili Malaysia dalam pertandingan Asia dan Asia Tenggara.

"Kena lihat juga pasukan mana bakal diwakili mereka. Jika hanya kelab biasa dan tak membantu perkembangan pemain itu lebih baik mereka kekal. 

"Misalnya Faisal Halim. Di Selangor dia masih berpeluang beraksi di Liga Juara Juara AFC 2 dan Piala Shopee. Jika Faisal sertai kelab biasa yang beraksi di pentas domestik saja, pencapaian yang boleh diraihnya mungkin terhad.

"Melainkan pemain tempatan yang kurang menyerlah di Malaysia, jika mereka cuba menaikkan profil mereka dengan beraksi di luar, bolehlah mencuba nasib," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram