
WASSIYAH Shoppe Berhad (Wasiyyah), syarikat perancangan harta pusaka Islam terkemuka di Malaysia, tampil memberikan penjelasan berhubung isu kes hibah yang dilaporkan terbatal selepas proses pewarisan, sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Wasiyyah, Ariffin Sabirin menegaskan isu yang tular baru-baru ini melibatkan pembatalan hibah manfaat takaful merupakan perkara teknikal dari sudut proses perundangan, dan ia melibatkan hibah berkaitan manfaat takaful sahaja.
"Kes ini berkait rapat dengan isu keabsahan Jadual 10 di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.
BACA LAGI : [VIDEO] Detik cemas helikopter hampir terhempas, pilot muncul wira selamatkan 5 penumpang di India
"Masyarakat seharusnya memberi ruang kepada proses perundangan yang sedang berjalan sebelum membuat sebarang kesimpulan," katanya dalam satu sidang media di Kelab Golf Negara Subang dekat Petaling Jaya, Selangor pada Rabu.
Jelas beliau lagi, ramai dalam kalangan masyarakat masih keliru dan tidak menyedari bahawa penyediaan dokumen hibah sahaja tidak memadai untuk menguruskan harta pusaka secara sah selepas kematian.
Katanya, walaupun hibah dan wasiat disahkan di Mahkamah Syariah, urusan pentadbiran harta pusaka termasuk pengeluaran surat kuasa mentadbir tetap perlu dilakukan di Mahkamah Sivil seperti Pejabat Pusaka Kecil atau Mahkamah Tinggi Sivil.
"Mahkamah Syariah hanya menentukan siapa waris dan bahagian masing-masing mengikut Faraid, tapi pentadbiran harta, surat kuasa mentadbir dan pembahagian sebenar dibuat di bawah Undang-Undang Sivil," ujarnya.
Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Wasiyyah, Ariffin Sabirin
Mengulas lanjut, Ariffin berkata, setiap waris si mati juga sepatutnya terlibat dalam semua proses dalam menentukan penerima hibah tersebut.
"Sebenarnya ramai yang masih keliru, prosedur itu tidak tamat selepas waris menerima hibah dan masih ada lagi yang perlu dibuat.
"Masyarakat perlu faham walaupun mereka telah melaksanakan hibah untuk harta-harta mereka, proses pengurusan harta pusaka mengikut undang-undang sivil tetap perlu dilaksanakan.
"Kedua-dua proses ini saling lengkap-melengkapi dan hanya apabila kedua-duanya selesai proses pengurusan harta pusaka itu dianggap sudah lengkap.
"Hanya apabila proses ini lengkap, hak waris-waris telahpun sah," jelasnya.
Susulan itu, katanya, bagi mengelakkan perkara sama berulang, Wassiyah Shoppe Berhad menawarkan bantuan perkhidmatan pengesahan hibah dan pentadbiran harta pusaka secara percuma.
"Sebagai syarikat amanah patuh Syariah yang berpengalaman, kami faham sepenuhnya bahawa terdapat bidang kuasa eksklusif di antara kedua-dua mahkamah syariah dan mahkamah sivil.
"Teknikaliti urusan ini memang sukar difahami oleh masyarakat kerana ia melibatkan proses di kedua-dua set undang-undang.
"Atas sebab itu kami memperkenalkan perkhidmatan hibah komprehensif dan Al-Wasitah iaitu perkhidmatan pengesahan hibah dan pentadbiran harta pusaka secara percuma untuk waris pelanggan kami di mana semua urusan dibuat sepenuhnya oleh pihak kami.
"Jadi waris tidak akan terkeliru dan tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan tambahan, " ujar Ariffin sambil menegaskan tidak melibatkan Wasiyyah.
Terdahulu, media kecoh di media sosial baru-baru ini mengenai satu kes hibah takaful bernilai RM1 juta yang dicabar di Mahkamah Tinggi Sivil.
Kes bermula apabila seorang peserta takaful yang memiliki polisi bernilai RM1 juta meninggal dunia dan di dalam polisi berkenaan dan menamakan isterinya sebagai penerima hibah bersyarat.
Selepas tuntutan hibah diluluskan syarikat takaful dan balu arwah menerima pampasan sebagaimana yang telah dinyatakan dalam penamaan hibah, pihak keluarga arwah tidak berpuas hati lalu membawa kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Sivil untuk membatalkannya.
Hakim Mahkamah Tinggi Sivil terbabit memutuskan hibah tersebut tidak sah daripada sudut undang-undang sivil dan wang pampasan itu perlu diuruskan mengikut hukum faraid. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram