
SERAMAI empat pemain warisan baharu diperkenalkan dalam Harimau Malaya pada Rabu dengan kesemua daripadanya dilihat mempunyai kualiti tersendiri untuk menaikkan lagi mutu pasukan negara.
Tumpuan utama sudah tentu diberikan kepada penyerang, Joao Figueiredo yang kini beraksi di Turki buat Istanbul Basaksehir kerana nilai pasarannya mencecah €2.1 juta (RM10.1 juta).
Penilaian tersebut meletakkannya di belakang seorang lagi bintang warisan baharu, Imanol Machuca sebagai pemain paling bernilai dalam skuad kebangsaan dengan ini memberi berita gembira buat penyokong.
BACA LAGI: Jangan pertikai susur galur warisan, terserah FAM nak kongsi atau tidak — Razman Roslan
BACA LAGI: FAM umum kuartet warisan sarung jersi Harimau Malaya, ada 4 misi tersendiri
Figueiredo menyatakan keterujaan beraksi buat Harimau Malaya dalam masa terdekat. — Facebook/Malaysia NT
Meskipun kebolehannya hanya boleh dinilai pada pertemuan menentang Vietnam pada Selasa depan, ramai sudah menjangkakan Figueiredo mampu membawa nilai tambah dalam Harimau Malaya.
Ini kerana kemasukannya akan menyaksikan pengendali pasukan, Peter Cklamovski mempunyai pelbagai pilihan di posisi berkenaan dengan pengalaman penyerang kelahiran Brazil itu beraksi di Eropah bakal menjadi satu daya tarikan.
Namun, nilai pasaran tinggi bukanlah satu-satunya perkara menarik berkaitan Figueiredo kerana berdasarkan carian Majoriti, terdapat tiga maklumat menarik menjadikan pemain itu hadir dengan aura menyakinkan buat Harimau Malaya.
1. Sepasukan bekas 'ubi muda' Manchester United
Sebelum bermain buat Istanbul Basaksehir, penyerang berusia 29 tahun tersebut pernah mewakili beberapa kelab sepanjang kariernya yang memberikannya peluang beraksi di samping bintang ternama.
Antara rakan sepasukan Figueiredo yang paling dikenali ialah bekas pemain berpotensi besar Manchester United, Adnan Januzaj dengan statistik di laman transfermarkt menunjukkannya pernah bersama-sama sebanyak 12 kali.
Januzaj yang kini beraksi buat Istanbul Basaksehir merupakan rakan sepasukan Figueiredo. — Agensi
Kedua-dua pemain itu merupakan rakan sepasukan di Istanbul Basaksehir dengan kedua-duanya memainkan peranan penting dalam membantu pasukan itu berada di kedudukan kelima liga ketika ini.
Bagaimanapun, sepanjang bersama-sama di atas padang, mereka pernah saling membantu antara satu sama lain sebanyak sekali iaitu ketika Januzaj mencipta satu gol kepada Figueiredo dalam aksi menentang Giresunspor.
Meskipun hanya terlibat sekali, pengalaman beraksi di samping bekas 'ubi muda' The Red Devils tersebut akan memberi bintang baharu Harimau Malaya tersebut nilai tambah penting.
2. Gol istimewa menentang gergasi Turki hadapan penyokong sendiri
Sepanjang empat musim beraksi di Turki, Figueiredo sudah mencetak 41 gol dan 14 bantuan jaringan daripada 155 penampilan buat dua kelab pernah diwakilinya, Istanbul Basaksehir dan Gaziantep FK.
Namun, baginya, jaringan paling berharga pernah dicetak sepanjang beraksi di negara berkenaan adalah semasa berdepan gergasi bola sepak mereka, Fenerbahce iaitu semasa kali pertama pertembungan.
Dua gol Figueiredo menentang Fenerbahce disaksikan keluarganya yang berada di stadium. — Agensi
Ketika itu, Figueiredo masih beraksi buat Gaziantep pada musim 2021/22 dengan tekanan cukup hebat dirasakan kerana lawan mereka itu amat dikenali dengan kualiti dan jumlah penyokong cukup kuat.
Bagaimanapun, ia tidak menghalangnya daripada mencetak nama apabila dia membantu pasukannya meraih kemenangan 3-2 di laman sendiri dengan dua gol dan satu bantuan jaringan dicatatkan.
Lebih manis lagi, persembahan memukau itu direkodkan di hadapan keluarganya yang hadir ke stadium untuk memberi sokongan dengan momen tersebut sudah tentu diingati sehingga hari ini.
3. Berkongsi bilik persalinan dengan Gabriel Jesus
Lama sebelum terdedah dengan landskap bola sepak antarabangsa, Figueiredo juga pernah terpanggil untuk menyertai kem latihan skuad antarabangsa Brazil pada 2018, iaitu semasa beraksi di Lithuania bersama Kauno Zalgiris.
Tetapi, nasib tidak menyebelahi penyerang berkenaan kerana dia tidak dipanggil memandangkan negara tersebut mempunyai barisan penyerang berkelas dunia, termasuk yang beraksi di liga teratas sekitar Eropah dan Amerika Selatan.
Figueiredo (kiri) berada dalam bilik persalinan di samping Gabriel Jesus. — Instagram/Joao Figueiredo
Bagaimanapun, peluang dipanggil menyertai kem latihan itu menyaksikan Figueiredo sempat meluangkan masa bersama rakan senegara, termasuk tonggak serangan Arsenal FC ketika ini, Gabriel Jesus.
Perkara berkenaan dikongsikan penyerang Harimau Malaya tersebut sendiri di laman Instagram peribadinya dengan Figueiredo kelihatan berbeza kerana masih berambut dan wajahnya kelihatan lebih muda.
Meskipun tiada rekod jelas mengenai panggilan ke dalam kem latihan Brazil itu, masa dilaungkan bersama gergasi bola sepak antarabangsa itu sekali lagi menjadi momen sukar dilupakan buatnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram