
KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) dijangka akan mengumumkan senarai pemain mereka selepas perayaan Aidiladha sekiranya permohonan rasmi mereka untuk menyertai Liga A1 Semi Pro 2025/26 disahkan.
Menurut sumber, kelab yang telah diswastakan itu sedang melengkapkan dokumen yang diperlukan sebagai syarat kelulusan bersyarat oleh penganjurnya, Liga Bola Sepak Amatur (AFL).
"Ya, KDA FC sudah hantar permohonan rasmi menyertai Liga A1, namun seperti yang diumumkan pihak AFL, kelulusan bersyarat.
"Pihak KDA FC kini sedang melengkapkan dokumen sebagai syarat yang telah diberikan," katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Coach Kino tak nak saya', Safuwan buka pekung kenapa tinggalkan Selangor
Dalam usaha menjernihkan kekeliruan berkaitan penyertaan dua pasukan berbeza dari Kedah di Liga A1, sumber itu menjelaskan bahawa Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), yang bernaung di bawah kerajaan negeri, telah pun mendaftar secara rasmi untuk beraksi musim hadapan.
Berbeza dengan KFA, KDA FC merupakan sebuah kelab swasta dengan pemilik majoriti, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar.
"KFA adalah Persatuan Bola Sepak Kedah FA yang telah mendaftar di Liga A1. Manakala, KDA FC adalah kelab yang telah diswastakan dengan pemilik majoriti, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, sementara KFA pula adalah persatuan di bawah kerajaan negeri Kedah," jelasnya.
Kedah FA sudah berada dalam 12 pasukan Liga A1 Semi Pro musim depan.
Menariknya, persediaan KDA FC menjelang musim depan semakin rancak apabila sumber mendedahkan senarai pemain akan diumumkan selepas perayaan Aidiladha, sekiranya proses permohonan kelab berjalan lancar.
KDA FC dijangka akan menggunakan majoriti pemain tempatan sebagai langkah penjimatan dana kelab.
“Jangkaan senarai pemain akan diumumkan selepas raya kerana perlu menjalani sesi photoshoot terlebih dahulu. Sekiranya kelayakan penuh diperoleh lebih awal, Insya-ALLAH proses pengumuman akan dipercepatkan,” tambah sumber berkenaan.
Terdahulu, AFL mengumumkan bahawa sebanyak 12 pasukan bakal bertanding pada musim depan, dengan jumlah itu dijangka meningkat susulan penyertaan tiga kelab tambahan.
Kekeliruan mula timbul dalam kalangan peminat bola sepak tempatan apabila tiga kelab baru, termasuk KDA FC mengumumkan minat mereka untuk menyertai pertandingan tersebut.
Susulan kehadiran KDA FC, ramai penyokong bimbang kewujudan pasukan bernama Kedah FA dalam saingan Liga A1 musim hadapan akan mengundang perpecahan dalam kalangan penyokong. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram