
PENGUMUMAN Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengenai 13 daripada 15 kelab yang memohon Lesen Kebangsaan musim 2025/26 layak beraksi dalam Liga Super musim hadapan mengundang perbincangan dalam kalangan penyokong bola sepak domestik.
Pengelola liga kebangsaan itu memaklumkan bahawa mereka mengeluarkan 13 lesen kebangsaan kepada 11 kelab Liga Super dan dua pasukan Liga Bola Sepak Amatur (AFL A1) iaitu Melaka FC dan Imigresen FC bagi saingan musim depan.
Melaka FC dan Imigresen FC menerima lesen kebangsaan selepas permohonan mereka di bawah Artikel 15 melalui Lesen Kebangsaan Luar Biasa diluluskan Badan Bebas First Instance Body (FIB) untuk saingan Liga Super musim depan.
BACA LAGI: Mahu tinggalkan Perak, bek kental TBG ada pilihan pulang ke kampung halaman atau Pantai Timur
BACA LAGI: Dilabel tenang dan bekerja keras, bek muda Perak mula dirisik NSFC-Kedah
Pengesahan bermain dalam saingan Liga Super itu pasti membuatkan dua kelab berkenaan sedang menyusun perancangan untuk menambah baik pasukan mereka terutama Imgrisen FC yang pertama kali bermain dalam divisyen teratas Liga Malaysia (Liga M) itu.
Salah satu strategi boleh dilakukan skuad The Mighty Tigers itu adalah dengan merekrut pemain-pemain yang dari dua kelab yang sudah sah tersingkir dari Liga Super iaitu Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Perak FC.
Selain pilihan dari kelab itu, pasukan yang sebelum ini menghuni kedudukan naib juara Liga A1 itu juga boleh memantau bakat dari Penang FC susulan Harimau Kumbang baru sahaja mengugurkan 22 pemain mereka.
Pengambilan pemain lokal yang berpengalaman Liga Super juga sebenarnya merupakan satu langkah penjimatan kos daripada perlu mengeluarkan bajet lebih untuk membawa bintang import ke skuad mereka.
1) Irfan Zakaria
Irfan sebelum ini bermain untuk KDA FC. — Facebook/KDAFC
Pertahanan tengah, Irfan Zakaria kini tidak dikaitkan dengan mana-mana kelab Liga Super selepas dia meninggalkan skuad Sang Kenari pada penghujung tahun lepas susulan tidak tahan menghadapai masalah tunggakan gaji.
Dengan pengalaman luas serta kebolehan bermain di pelbagai posisi pertahanan, Imigresen boleh membawa masuk pemain berusia 29 tahun itu dan menjadikannya aset bernilai tinggi yang mampu mengukuhkan pasukan tersebut.
Sepanjang kariernya, Irfan membuktikan keupayaan sebagai pemain pertahanan tengah yang konsisten, antaranya membantu Kuala Lumpur (KL) City menjuarai Piala Malaysia 2021 serta membawa pasukan itu ke pentas akhir Piala AFC 2022.
Selain cemerlang menjadi pertahanan tengah untuk skuad Warga Kota, bekas pemain kebangsaan berkenaan juga pernah menyarung jersi Harimau Muda C (2014), Harimau Muda B (2014-2015) dan Sabah FC pada musim 2022 hingga 2024.
Jika Irfan ditandatangani Imigresen, kelab berkenaan juga kini memiliki seorang pemimpin di atas padang yang mampu mengatur barisan pertahanan serta memberikan bimbingan kepada pemain muda.
2) Aiman Yusni
Aiman (kiri) mampu bermain dengan baik di pertahanan kanan. — Facebook/PerakFC
Jika Imigresen FC sedang mencari penyelesaian untuk posisi pertahanan kanan, Aiman Khairul Yusni mungkin jawapannya dengan dia berpotensi untuk menjadi aset jangka masa panjang kepada pasukan itu.
Pada usia 22 tahun, Aiman Yusni sudah menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan apabila dia melakukan 18 penampilan bersama Perak musim ini dan berjaya mengekalkan disiplin tinggi dengan hanya menerima satu kad kuning sepanjang kempen tersebut.
Selain pengalaman bersama skuad The Bos Gaurus (TBG), penyertaannya dalam skuad muda kebangsaan juga menjadi bukti bahawa Aiman Yusni berada di landasan yang tepat untuk mencapai tahap yang lebih tinggi.
Menariknya, Aiman Yusni bukan sahaja efektif di posisi bek kanan, malah turut versatil apabila mampu beraksi sebagai pertahanan tengah dan sebagai pemain tengah kanan dalam dua perlawanan bersama Perak.
Kepelbagaian itu memberi kelebihan taktikal kepada Imigresen jika memilikinya dan menjadikan Aiman Yusni antara pemain muda paling bernilai untuk diperhatikan dalam pembangunan pasukan jangka panjang.
3) Rahmat Makasuf
Rahmat boleh memperkuatkan Imigresen FC pada musim depan. — Facebook/Penang FC
Penyerang sayap kanan, Rahmat Makasuf juga boleh menjadi calon ideal untuk bahagian serangan Imigresen FC selepas pemain berkenaan dilepaskan bersama 21 lagi tonggak Harimau Kumbang baru-baru ini.
Pemain sayap kelahiran Terengganu itu pernah dianggap sebagai antara prospek paling berbakat dalam bola sepak tempatan, terkenal dengan kepantasannya yang mengelirukan dan kelincahan yang mampu membuka ruang di bahagian serangan.
Namun, realitinya berbeza apabila pemain berusia 27 tahun itu gagal memberikan impak yang signifikan bersama skuad Harimau Kumbang apabila hanya menjaringkan satu gol dalam 13 penampilannya untuk Penang FC.
Meskipun ia merupakan angka yang menggambarkan kesukarannya untuk mencapai konsistensi dan menyesuaikan diri dengan tuntutan taktikal pasukan tetapi Rahmat boleh mencari kelab baharu untuk mengembalikan potensinya.
Imigresen FC yang baru sahaja dinaikkan ke Liga Super, tampil sebagai destinasi ideal dengan mereka juga sedang membina kekuatan dan mencari suntikan kreativiti di bahagian sayap. Rahmat boleh diberi peluang kedua untuk membuktikan nilainya di pentas utama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram