Liga A1 makin meriah, terima kehadiran JDT II, Selangor II lepas alu-alukan penyertaan Kedah, Perak


  • Podium
  • Khamis, 05 Jun 2025

JDT II dan Selangor FC II merupakan dua daripada tiga kelab simpanan yang akan berentap dalam kejohanan amatur tersebut. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

SAINGAN Liga A1 Semi-Pro musim 2025/26 bakal menjadi lebih menarik untuk disaksikan selepas 12 pasukan diumumkan bakal bersaing setelah disahkan penyertaan dengan sepak mula dijadualkan pada penghujung Julai dan berakhir Mei 2026.

Empat pasukan baharu dan lima pasukan sedia ada serta tiga pasukan ‘feeder’ dijangka memeriahkan saingan yang kini semakin mendapat tempat di kalangan peminat bola sepak tempatan.

Pengerusi Amateur Football League (AFL), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, secara rasmi 12 pasukan yang telah berjaya menyertai saingan adalah Armed Forces FC, Manjung City FC, Imigresen FC II, Johor Darul Ta’zim II, Selangor FC II, Kelantan WTS FC dan Kedah FA.

BACA LAGI: Bukan Kedah, AFL tak tolak kemungkinan ada kelab Liga Super mohon sertai Liga A1

BACA LAGI: Perak rancang kebangkitan, guna skuad SUKMA sertai Liga A1

Masih terdapat kemungkinan peningkatan jumlah pasukan bertanding bagi Liga A1 Semi Pro 2025/26. — Facebook/AFL

“Turut menyahut cabaran adalah Machan FC, Kelantan Red Warriors FC, Bunga Raya FC, Malaysian University, Persatuan Bolasepak Perak (PAFA),” katanya selepas Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah AFL, di Shah Alam, Selangor pada Khamis.

Jelasnya lagi, tiga pasukan diberikan kelulusan bersyarat bagi membolehkan mereka turut sama menyertai saingan Liga A1 Semi Pro musim ini iaitu Kedah Darul Aman (KDA) FC, Guar Syed Alwi dan kelab Korea Selatan, Seoul Phoenix FC.

“Mereka diberikan tempoh 10 hari, iaitu bermula Jumaat sehingga 15 Jun depan untuk melengkapkan beberapa kriteria/dokumen yang diperlukan. Perancangan kita sebelum ini untuk mendapatkan sehingga 14 pasukan yang bakal bersaing. 

"Jika semua atau ada di antara mereka berjaya mendapatkan kelulusan penuh maka akan bertambah bilangan pasukan. Jika tidak, AFL tiada masalah untuk meneruskan dengan 12 pasukan yang sememangnya bersedia," katanya.

Melaka FC yang menjuarai Liga A1 Semi Pro 2024/25 akan berentap dalam Liga Super musim depan.

Musim lalu, Liga A1 Semi Pro disertai 15 pasukan, namun dua daripadanya iaitu Melaka FC dan Imigresen FC tidak akan bersaing bagi kempen akan datang selepas memperolehi lesen kebangsaan untuk beraksi dalam Liga Super 2025/26.

Ketiadaan kedua-dua pasukan tersebut tidak akan merencatkan perancangan AFL kerana lebih banyak kelab menyatakan keinginan untuk menyertai, termasuk beberapa yang lain dalam senarai menunggu.

“Di senarai menunggu juga kita ada dua Pasukan (UM-Damansara FC & Ipoh City FC) yang kita boleh pertimbangkan jika ada keperluan untuk melengkapkan bilangan pasukan. Mereka juga melalui proses yang sama sebelum ini cuma kita dapati masih banyak lagi kriteria yang perlu mereka penuhi.” ujarnya.

Sekiranya lebih banyak pasukan tampil bertanding, tidak mustahil sekiranya saingan Liga A1 Semi Pro akan semakin meriah selepas bertahun-tahun sepi tanpa kehadiran penyokong memberangsangkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram