Bukan seorang, tapi 3 bintang Sang Kenari sah milik Penang


  • Podium
  • Khamis, 05 Jun 2025

Barisan pertahanan skuad Harimau Kumbang akan diperkukuhkan dengan kehadiran tiga pemain baharu itu. — Facebook/Penang FC

JENDELA perpindahan ketika ini semakin sibuk buat Penang FC apabila pihak pengurusan membawa masuk tiga lagi pemain baharu yang masing-masing merupakan tonggak utama Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Mereka merupakan Amirul Hisyam Awang Kechik, Ariff Farhan Md Isa dan Akmal Zahir yang masing-masing akan memperkuatkan barisan pertahanan skuad Harimau Kumbang yang rapuh musim lalu.

Berdasarkan statistik, Penang FC dibolosi sebanyak 38 kali dalam saingan Liga Super musim lalu dengan angka berkenaan menghalang pasukan itu daripada berada di kedudukan lebih baik.

BACA LAGI: 'Next STL', Syafiq Ahmad sasar jadi pemain takraw lepas tinggalkan Kedah?

BACA LAGI: Bagaikan rahmat, 3 langkah wajar diterap Kedah jika sah ke Liga A1

Kebolehan Ariff Farhan sebagai bek sayap akan membawa kelainan buat skuad Harimau Kumbang. Facebook/KDA FC

Jadi, kehadiran ketiga-tiga rekrut baharu itu diharapkan mampu membawa perubahan kerana kelab Utara tanah air berkenaan dijangka menjadi pencabar selepas khabar angin mengatakan lebih ramai pemain akan dibawa masuk.

Musim lalu, Ariff Farhan merupakan nadi utama barisan pertahanan KDA FC kerana kebolehannya mematahkan serangan dari posisi sayap menjadikannya watak utama buat pasukan yang bergelut di luar padang.

Meskipun mengalami isu pengurusan, bek kanan Sang Kenari itu masih bersemangat untuk beraksi apabila merekodkan 23 penampilan Liga Super yang membuktikannya hanya tidak diturunkan dalam satu perlawanan.

Ini merupakan satu langkah cemerlang buat Penang FC kerana Ariff Farhan yang boleh beraksi di kedua-dua belah sayap pertahanan mampu menggantikan Fairuz Zakaria selepas dia berkelana ke DPMM FC.

Nilai kepimpinan ditonjolkan Akmal Zahir boleh dimanfaatkan skuad Harimau Kumbang. Facebook/MFL

Akmal Zahir yang merupakan bek tengah KDA FC musim lalu juga merupakan penambahan berkualiti dilakukan skuad Harimau Kumbang kerana nilai kepimpinannya dapat disaksikan sepanjang dia memakai lilitan tangan kapten.

Kemasukannya akan turut mengisi kekosongan besar ditinggalkan tonggak Penang FC, Rafael Vitor yang baru-baru ini menoktahkan tempoh perkhidmatan lima musim buat kelab Utara tanah air berkenaan.

Sementara itu, Amirul Hisyam yang lebih dikenali sebagai Worm dalam kalangan penyokong Hijau Kuning juga mampu mengukuhkan benteng pasukan kerana dia beraksi sebagai pemain tengah bertahan sepanjang 10 musim bersama KDA FC.

Amirul Hisyam mampu mengekang bola sebelum ia tiba dalam barisan pertahanan pasukan. Facebook/KDA FC

Di samping bijak mematahkan gerakan lawan, pemain berkenaan turut tenang dalam menghantar bola diterima daripada rakan sepasukan dengan ini merupakan satu nilai penting buat skuad kendalian Wan Rohaimi Wan Ismail.

Ketiga-tiaga pemain berkenaan dibawa masuk Penang FC bagi kempen akan datang susulan ketiadaan KDA FC dalam divisyen teratas bola sepak tempatan musim depan susulan kegagalan memperolehi lesen kebangsaan.

Berdasarkan kenyataan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), kelab tersebut gagal memenuhi kriteria kewangan ditetapkan, sekali gus memaksa mereka mengucapkan selamat tinggal kepada kempen Liga Super 2025/26. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram