Media Sepanyol beri ‘hint’ Jordi Amat kekal bersama JDT, lain pula ceritanya dengan striker Samba


  • Podium
  • Rabu, 04 Jun 2025

Amat yang pernah beraksi di La Liga dan kini menjadi tonggak utama di benteng pertahanan JDT dijangka akan terus kekal bersama pasukan itu. — Facebook/JST

MASA depan dua pemain import Johor Darul Ta'zim (JDT) terus menjadi perhatian, dengan laporan media Sepanyol memberi petunjuk bahawa bek tengah berpengalaman, Jordi Amat akan kekal bersama skuad Harimau Selatan.

Menurut laporan yang dikongsikan oleh portal sukan Sepanyol di laman Instagram, cadizclubdefutbol, Amat yang pernah beraksi di La Liga dan kini menjadi tonggak utama di benteng pertahanan JDT dijangka akan terus kekal bersama pasukan itu.

Bekas pemain kelab Rayo Vallecano dan Real Betis itu dilaporkan masih menjadi pilihan utama dalam perancangan pasukan, sekurang-kurangnya sehingga tamat musim ini. 

BACA LAGI: Katanya Penang FC rekrut rakan senegara Edin Dzeko, digelar ‘The Fastest Man’ Liga Bosnia

BACA LAGI: Bukan ke NSFC, bintang muda JDT sebaliknya pilih kelab Utara

Heberty dikatakan bakal menyertai Liga 2 Thailand, Chonburi FC musim depan. Facebook/JST

Komitmennya bersama skuad Harimau Selatan serta prestasi konsisten menjadi antara faktor utama kelangsungannya di kelab juara bertahan Liga Super itu.

Bagaimanapun, nasib berbeza dilaporkan menimpa penyerang import berbisa, Heberty Fernandes.

Pemain kelahiran Brazil itu dikhabarkan sedang dalam rundingan untuk menyertai kelab Liga 2 Thailand, Chonburi FC.

Perpindahan itu jika menjadi kenyataan, bakal menandakan penamat karier singkat Heberty bersama JDT yang disertainya pada musim lepas.

Desas-desus mengenai perpindahan Heberty semakin kuat selepas satu hantaran di media sosial Facebook, Offeris Wichitchote yang mendedahkan bahawa Heberty semakin hampir untuk berkelana ke Thailand.

Malah, berdasarkan Transfermarkt, kontrak penyerang berbisa berketinggian 1.72 meter itu bakal tamat pada 30 Jun 2025. 

Situasi itu sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa penyerang berusia 37 tahun itu tidak lagi menjadi sebahagian daripada perancangan utama kelab.

Bagaimanapun, setakat ini JDT masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai status kedua-dua pemain tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram