
PEREJAM sepak takraw negara, Azlan Alias berdepan kemungkinan tindakan disiplin selepas didapati beraksi bersama pasukan Melaka Titans dalam saingan divisyen satu Liga Sepak Takraw (STL) baru-baru ini walaupun masih dalam tempoh rawatan pemulihan kecederaan.
Presiden Persatuan Sepak Takraw Negara (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan menyatakan kekecewaannya terhadap tindakan Azlan yang tidak mengikut nasihat Institut Sukan Negara (ISN) untuk berehat antara empat hingga enam minggu bagi menjalani rawatan fisioterapi.
Menurut beliau, laporan perubatan ISN menunjukkan Azlan yang dilanda kecederaan semasa kempen Piala Asia 2025 dalam proses pemulihan dan seharusnya tidak kembali ke gelanggang dalam masa terdekat.
BACA LAGI: Melaka Titans seperti 'copy ori' Penang Black Panther, Azlan Alias bangkit singkirkan Kedah
BACA LAGI: Azlan Alias retak tulang siku, Melaka Titans jumpa perejam dari Thailand sebagai pengganti
"Azlan ini dalam proses 50-50 lagi, kalau ikut laporan doktor ISN, dia perlu jalani fisioterapi selama empat hingga enam minggu. Itu yang saya tahu untuk rawatan itu. Tapi sekarang dia dah turun gelanggang sebanyak dua kali.
“Saya dah tanya jurulatih dan juga pihak-pihak terlibat termasuk ISN, siapa yang benarkan dia main? Sedangkan nasihat doktor jelas minta dia berehat.
“Saya senang sahaja, yang penting keutamaan negara kita. Kalau itu diketepikan, satu masalah,” kata Sumali ketika ditemui pada Program Komuniti STL 2025, Gelanggang Sepak Takraw Taman Mesra, Kajang, Selangor pada Rabu.
Sumali (tiga dari kiri) ketika Program Komuniti STL 2025, Gelanggang Sepak Takraw Taman Mesra.
Sumali turut menegaskan bahawa keutamaan seharusnya diberikan kepada negara, terutamanya dengan kejohanan penting seperti Piala Raja Thai pada bulan Julai dan Sukan SEA di Bangkok hujung tahun ini.
“Saya di pihak PSM lebih pentingkan Sea Games dan Piala Raja Thai, tugasan negara. Apa-apa di peringkat negeri yang mana boleh bekerjasam boleh dibincangkan. Apa-apa keutamaan adalah Malaysia.
“Kalau pemain-pemain tak tunjukkan semangat ke arah wakil negara, saya tak berminat. Kita mesti ikut arahan dan hormat keputusan doktor serta persatuan untuk pemain yang ada kecederaan,” tambahnya.
Menurut Sumali lagi, pihaknya sudah menghantar surat tunjuk sebab kepada Azlan dan juga pihak pengurusan Melaka Titans, yang diberikan tempoh tujuh hari bermula Selasa untuk memberikan penjelasan.
“Saya kecewa dengan Azlan. Ini bukan perkara baru. Laporan perubatan sudah keluar dua, tiga kali, lengkap dengan MRI. Kalau dia abaikan, seolah-olah dia anggap laporan itu palsu. Itu sangat tidak profesional.
“Itu tidak tahu (bentuk hukuman). Sudah pasti saya akan bawa ke mesyuarat bersama Jawatankuasa disiplin. Pasti ada mesyuarat untuk itu. Tentang hukuman wallahualam,” jelasnya.
Untuk rekod, Azlan bermain untuk Melaka Titans ketika perlawanan suku akhir dań separuh akhir saingan divisyen satu STL.
Sumbangannya itu membantu pasukannya dinobatkan sebagai juara selepas menewaskan Bomba Fighters 2-0 di Stadium Tertutup Sukpa Kuantan, Pahang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram