Kebangkitan Malaysia University di STL bukti sepak takraw tidak ketandusan pelapis, Kuantan jadi pusat cari bakat


  • Podium
  • Rabu, 04 Jun 2025

Malaysian University (berjersi hitam dan kuning) mendapat tempat ketiga dalam saingan divisyen STL baru-baru ini. — Facebook/STL

PRESIDEN Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan menyifatkan kebangkitan pasukan Malaysian University Knights dalam saingan divisyen satu Liga Sepak Takraw (STL) sebagai bukti bahawa sukan tradisional itu masih subur dengan kehadiran pelapis berbakat.

Menurut beliau, kejayaan Malaysian University menunjukkan bahawa Malaysia tidak ketandusan bakat muda dan PSM kini giat meneruskan usaha mencari serta melatih pemain berpotensi di seluruh negara, termasuk melalui program PSM-MARA kerjasama bersama Majlis Amanah Rakyat yang berpusat di Kuantan, Pahang. 

Untuk rekod, Malaysian University Knights dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga pada saingan baru-baru ini selepas menewaskan Sabah Mountaineers dengan keputusan 1-2.

BACA LAGI: Azlan Alias kena 'sound', potensi dihukum gara-gara wakili Melaka Titans lepas disaran berehat

BACA LAGI: Melaka Titans seperti 'copy ori' Penang Black Panther, Azlan Alias bangkit singkirkan Kedah

“Kebangkitan pasukan Malaysian University dalam Division 1 baru-baru ini satu petanda baik. Mereka bukan sekadar bersaing, malah boleh menang perlawanan. Ini menunjukkan kita ada ramai pelapis, bukan dari satu saluran sahaja.

“Bukan itu saja, PSM Mara juga sudah sampai batch kedua. Ini juga adalah salah satu platform lahirkan pelapis. Batch pertama PSM-Mara menunjukkan kualiti yang sangat bagus.

“Walaupun kita hadkan kepada 12 pemain satu sesi, mereka benar-benar menonjol. Cuma kekangan utama adalah ia berjalan serentak dengan program akademik pelajar,” katanya ketika ditemui pada Program Komuniti STL 2025, Gelanggang Sepak Takraw Taman Mesra, Kajang, Selangor pada Rabu.

Program Komuniti STL 2025 satu usaha untuk memperkasakan sukan sepak takraw serta mendekatkan diri dengan komuniti setempat melalui sukan dengan ia dilaksanakan melalui pelbagai aktiviti.

Dalam pada itu, Sumali turut memaklumkan bahawa selain kejohanan STL, PSM sedang merancang beberapa lagi inisiatif termasuk klinik-klinik sepak takraw yang bertujuan menarik minat pelajar sekolah seawal usia 11 hingga 14 tahun untuk menceburi sukan ini secara lebih serius.

Sumali ketika Program Komuniti STL 2025, Gelanggang Sepak Takraw Taman Mesra.

“Selain STL, kami di pihak PSM ada juga jalankan klinik-klinik sepak takraw. Sasaran kami termasuk pelajar sekolah serendah usia 11 hingga 14 tahun. Mereka inilah yang akan dibimbing ke program pembangunan seperti NSTDP (National Sepak Takraw Development Programme).

“Sebenarnya NSTDP tu sedang berjalan dan dah tentulah kolam pemain itu ramai tapi dari segi  kuantiti. Saya sudah tekankan kepada semua jurulatih dalam NSTDP. Kita bukan nak kuantiti semata-mata, kita nak qualiti.

"Kita nak sampai ke tahap kita sendiri pun sukar nak pilih siapa yang terbaik kerana terlalu ramai yang berpotensi tinggi," jelasnya. 

NSTDP kini menyasarkan kumpulan umur dari 13 hingga 18 tahun. Sumali percaya, apabila pemain mencecah umur 16 hingga 17 tahun, bakat mereka sudah cukup jelas untuk dinilai bagi peringkat kebangsaan.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram