
SEPAKAN penalti merupakan satu perkara yang biasa dalam bola sepak. Tendangan dari 12 meter ke pintu gol lazimnya memberikan peluang kepada pasukan untuk menambah jaringan menerusi cara paling mudah.
Walaupun kelihatan mudah, namun ia masih ada kemungkinan untuk sepakan itu diselamatkan oleh penjaga gol yang sedia mengecewakan lawannya.
Di Liga Super, walaupun banyak sepakan penalti berjaya disempurnakan, masih ada penjaga gol yang mempunyai rekod baik berjaya menyelamatkan beberapa sepakan penalti sepanjang musim lalu.
BACA LAGI: Rancak dengar pemain Malaysia dikait kelab luar, fikir-fikir dulu 2 faktor karier-kewangan
Sikh Izhan Nazrel
Penjaga gol pinjaman dari Selangor FC itu nyata memberikan persembahan baik buat Penang FC sepanjang musim lalu.
Berjaya mencatatkan tujuh nirbolos (clean sheet) sepanjang musim lalu, ia meletakkan Sikh Izhan Nazrel dalam kedudukan tiga terbaik untuk rekod tersebut di Liga Super.
Sikh Izhan kembali ke Selangor selepas tamat tempoh pinjaman bersama Penang.
Dari segi sepakan penalti, Sikh Izhan berdepan enam situasi tersebut dengan dia berjaya menyelamatkan satu tendangan.
Ia membuatkan nisbah menyelamat sepakan penalti itu kepada 16.7 peratus menjadikan ia yang ketiga terbaik dalam Liga Super.
Syazmin Rozaimi
Musim 2024/2025 mungkin tidaklah seindah diharapkan oleh Syazmin Rozaimi, namun dia masih ada rekod yang boleh dibanggakan olehnya.
Beraksi untuk dua kelab iaitu Sri Pahang FC dan Kedah Darul Aman FC, Syazmin bagaimana pun sekadar meraih dua nirbolos pada musim lalu.
Syazmin beraksi untuk dua kelab musim lalu.
Dari segi sepakan penalti, Syazmin berdepan dua sepakan penalti dengan dia berjaya menyelamatkan satu daripadanya.
Ia menjadikan nisbah Syazmin dalam situasi tersebut adalah 50 peratus, meletakkan dirinya terbaik dalam Liga Super.
Khairul Fahmi Che Mat
Seorang lagi penjaga gol yang mempunyai statistik menarik dari situasi sepakan penalti adalah bintang Sabah FC, Khairul Fahmi Che Mat.
Beraksi sebanyak 12 kali dalam Liga Super musim lalu, rekod nirbolos Fahmi sama dengan Syazmin dengan bekas penjaga gol kebangsaan itu cuma meraih dua.
Khairul Fahmi Che Mat (depan) berdepan enam sepakan penalti musim ini.
Dari segi sepakan penalti, Fahmi berdepan enam sepakan penalti dengan dia berjaya menyelamatkan dua daripada tendangan dihadapinya.
Ia menjadikan nisbah Fahmi menyelamatkan sepakan penalti adalah 40 peratus, meletakkan dia di tempat kedua di belakang Syazmin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram