'Santai' sepanjang jendela perpindahan, 3 kelab termasuk Sabah FC-Kuching City tak terburu-buru bikin rombakan


  • Podium
  • Khamis, 05 Jun 2025

Sabah dijangka lebih memilih untuk berjimat dengan mengutamakan penggunaan pemain tempatan pada musim 2025/2026. — Facebook/Sabahfc

DENGAN berakhirnya musim Liga Malaysia (Liga M) 2024/25, kebanyakan kelab kini rancak menjalankan proses perekrutan pemain baharu untuk memperkuatkan skuad masing-masing.

Antara kelab yang dilaporkan sedang giat merancang adalah Melaka FC dan Penang FC, yang walaupun tergolong sebagai kelab kecil, masih menjadi pilihan ramai pemain untuk mendapatkan minit permainan dan mengembangkan kerjaya.

Namun begitu, berbeza dengan kelab lain yang sedang rancak membuat persiapan, terdapat tiga kelab yang dilihat masih ‘santai’ menjelang jendela perpindahan musim ini.

BACA LAGI: 'Tahu-tahu muncul atas padang,' pemerhati saran FAM buat kerja 'proper' perkenal pemain warisan

BACA LAGI: 'Pemain tempatan kian tenggelam, asyik-asyik harapkan naturalisasi'

Walaupun begitu, ketiga-tiga kelab tersebut dipercayai mempunyai perancangan tersusun yang masih belum diumumkan secara rasmi di media sosial.

Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga kelab yang kini dilihat masih sepi menjelang jendela perpindahan musim ini.

1. Sabah FC

Sabah FC mengekalkan prestasi cemerlang dengan menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik Liga Super selama tiga musim berturut-turut iaitu pada 2022, 2023 dan 2024.

Pada musim 2024, di bawah kendalian jurulatih sementara Martin Stano, Sabah FC mengumpul 40 mata, kurang 15 mata berbanding musim sebelumnya.

Sepanjang 24 perlawanan, skuad Sang Badak menjaringkan 41 gol, mencatat 11 kemenangan, tujuh seri dan enam kekalahan. Namun, kelemahan utama yang ketara adalah ketumpulan barisan penyerang dan benteng pertahanan yang rapuh, membenarkan 33 gol diterima.

Sabah FC setakat ini masih belum mengumumkan sebarang perancangan untuk merekrut pemain baharu bagi musim depan. — Facebook/Sabahfc

Setakat ini, Sabah FC belum memulakan aktiviti perpindahan pemain dan dipercayai menangguhkan proses tersebut atas faktor kewangan, yang turut menjejaskan banyak kelab lain dalam Liga Super.

Oleh itu, Sabah dijangka lebih memilih untuk berjimat dengan mengutamakan penggunaan pemain tempatan pada musim 2025/2026.

Tidak mustahil Sabah hanya akan mengekalkan dua atau tiga pemain import, selepas beberapa pemain utama meninggalkan kelab, antaranya pemain sayap Indonesia Saddil Ramdani, pertahanan Korea Selatan Park Tae-su dan pemain import kelahiran Portugal, Telmo Castanheira.

2. Kuching City FC

Di bawah kendalian Aidil Sharin Sahak, Kuching City FC juga dilihat masih menunggu masa sebelum membawa masuk pemain baharu.

Prestasi mereka pada musim 2024/25 amat memberangsangkan apabila berjaya menamatkan saingan Liga Super di tempat keempat dengan 39 mata, hanya satu mata di belakang Sabah FC.

Pencapaian itu dianggap luar biasa memandangkan sebelum ini Kuching City sering berjuang untuk kekal dalam kelompok tengah liga. Namun, setakat ini tiada khabar rasmi tentang pemain baharu yang bakal menyertai pasukan.

Kuching City pastinya sudah menyediakan perancangan tersendiri untuk musim depan. — Facebook/Kuchingcityfc

Walaupun terdapat spekulasi bahawa Tchetche Kipre mungkin meninggalkan pasukan, khabar tersebut dilihat semakin pudar kerana faktor usia pemain tersebut dan risiko kelab lain mengambilnya.

Kuching City juga dilihat berhati-hati dalam urusan perpindahan kerana mahu mengelak isu kewangan. Sepanjang musim lalu, mereka juga berjaya mengekalkan kestabilan dengan tiada masalah gaji berlaku, satu prestasi yang patut dipuji.

Keputusan untuk tidak tergesa-gesa merombak pasukan dianggap tepat, memandangkan mereka perlu membuat pilihan yang bijak dalam mencari pemain berkualiti untuk bersaing musim depan, terutamanya dengan kemunculan pasukan baru, DPMM FC dari Brunei.

3. Kuala Lumpur City FC

Meskipun pernah menghadapi isu kewangan, Kuala Lumpur City FC kini dilihat semakin matang dalam urusan perpindahan pemain.

Ketika banyak kelab Liga Super sibuk memantau dan mencari pemain baru, KL City FC lebih selesa berdiam diri dan belum mendedahkan sebarang maklumat mengenai perekrutan.

Skuad kendalian Miroslav Kuljanac itu tidak dijangka membuat rombakan besar kerana pasukan sedia ada sudah cukup mantap di semua posisi.

The City Boys dilihat memilih untuk tidak terburu-buru membawa masuk pemain baharu. — Facebook/Kualalumpurfc

Pada musim lalu, mereka menduduki tempat keenam liga dengan rekod 11 kemenangan, empat seri dan sembilan kekalahan selepas 24 perlawanan.

The City Boys dilihat memilih untuk tidak terburu-buru membawa masuk pemain baharu dan lebih menumpukan kepada kestabilan dan kesinambungan pasukan untuk menghadapi musim depan.

Walaupun dilihat agak ‘santai’ berbanding yang lain dalam jendela perpindahan kali ini, ia tidak bermakna mereka tidak mempunyai perancangan.

Sebaliknya, kelihatan mereka lebih berhati-hati dan strategik dalam mengatur langkah bagi memastikan kestabilan pasukan dan kewangan yang kukuh menjelang musim baru Liga Malaysia 2025/26. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram