
JUARA 11 kali berturut-turut Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) mengumumkan pemain pertahanan Sepanyol iaitu Antonio Glauder sebagai rekrut pertama Harimau Selatan dalam usaha menghadapi saingan musim depan.
Perkara tersebut dimaklumkan menerusi kenyataan rasmi media sosial mereka, Johor Southern Tigers yang menyifatkan kemasukan pemain berusia 29 tahun itu sebagai tambahan baharu barisan pertahanan skuad Harimau Selatan.
Meskipun hanya beraksi dalam La Liga 2 pada kempen lalu bersama Cadif CF, pertahanan berketinggian 1.84 meter berkenaan berpengalaman luas di Eropah kerana pernah beraksi buat beberapa kelab lain di Sepanyol.
BACA LAGI: Bintang golf beri bayangan Jordi Amat tinggalkan JDT, pilih Sepanyol sebagai destinasi baharu
BACA LAGI: Status bersama JDT masih samar, yang pasti Jordi Amat nafi khabar angin ke Indonesia
Glauder merupakan produk akademi bola sepak elit Sepanyol dan pernah menyertai skuad remaja kelab ternama seperti Barcelona, Villarreal, Espanyol dan Alaves. Dia juga mempunyai pengalaman luas bersama kelab-kelab seperti CF Fuenlabrada, SD Eibar dan Albacete.
Fakta menarik mengenai pertahanan tengah berkenaan baharu itu apabila Glauder kini menyertai senarai eksklusif pemain skuad Harimau Selatan yang pernah beraksi bersama kelab La Liga, SD Eibar.
Dua lagi pemain JDT iaitu Eddy Israfilov dan Natxo Insa turut memiliki pengalaman beraksi bersama kelab dari wilayah Basque itu, yang pernah bersaing dalam divisyen teratas bola sepak Sepanyol.
Sebelum telusuri cerita Eddy dan Natxo di SD Eibar, lebih baik mengetahui musim Glauder bersama kelab yang kini menghuni keduudkan kesembilan dalam saingan La Liga 2 untuk kempen 2024/2025.
Pada 30 Jun 2021, Glauder menandatangani kontrak selama dua tahun bersama SD Eibar namun perkhidmatannya bersama kelab itu tidak bertahan lama apabila dia memilih untuk menamatkan kontrak susulan kurang mendapat minit permainan.
Sepanjang musim 2021/2022, Glauder hanya diberikan peluang bermain dalam 16 penampilan domestik dan dua daripadanya aksi Copa Del Rey. Disebabkan itu, pada 31 2022, menandatangani perjanjian selama setahun dengan kelab divisyen dua lain, Albacete Balompie.
Eddy Israfilov
Eddy bermain bersama Eibar pada 2015. — Agensi
Tonggak tengah Harimau Selatan, Eddy pernah menyarung jersi SD Eibar pada musim 2015 secara pinjaman daripada Real Murcia namun, dia itu juga tidak mencatat minit permainan yang banyak bersama kelab terbabit.
Berdasarkan statistik daripada laman Transfermarkt, pemain kebangsaan Azerbaijan itu hanya mencatat sembilan perlawanan domestik untuk Eibar dengan tiga daripadanya beraksi untuk saingan Copa Del Rey.
Selepas jarang diturunkan, Eddy berpindah ke kelab divisyen dua iaitu Cordoba CF pada 1 Februari tahun berikutnya secara pinjaman hingga akhir musim dan tampil lebih kerap apabila mencatat 14 perlawanan.
Ketika bersama SD Eibar, Eddy juga terpalit dengan isu kontroversi apabila didakwa di mahkamah berhubung satu video lucah yang dirakam oleh rakan sepasukannya iaitu Sergi Enrich dan Antonio Luna, pada 2016 tanpa kebenaran wanita dalam video tersebut.
Eddy dituduh oleh kedua-dua pemain berkenaan sebagai individu yang menyebarkan video tersebut, namun pemain tengah itu menafikan tuduhan berkenaan dan dibebaskan daripada pertuduhan pada 2021.
Selepas beraksi dengan pelbagai kelab lain di Sepanyol dan sempat menyarung jersi pasukan Azerbaijan iaitu Neftchi PFK, Eddy akhirnya menyertai Harimau Selatan pada jendela perpindahan Ogos 2024.
Natxo Insa
Natxo Insa bermain untuk Eibar pada musim 2007/2008 dan 2008/2009. — Agensi
Ketua pasukan JDT, Natxo Insa bermain untuk SD Eibar pada musim 2007/2008 secara pinjaman daripada Valencia dengan dia memberikan impak positif apabila menjaringkan dua gol dalam 34 penampilan La Liga 2.
Perjanjian pinjaman itu disambung untuk musim berikutnya, namun tahun kedua bersama Eibar tidak sebagus kempen 2007/2008 apabila Natxo sekadar mencetak satu gol dalam 23 perlawanan dia diturunkan.
Selepas berkhidmat untuk Eibar, Natxo menyertai Villareal (2009-2013), Celta (2011-2013), Antalyaspor (2013-2014), Zaragoza (2014-2015), Alcorcon (2015-2016), Levante (2016-2017) dan JDT pada 2017 sehingga kini.
Walaupun sudah semakin berusia, Natxo terus membuktikan bahawa usia hanyalah angka apabila kekal menjadi antara tonggak paling konsisten dalam skuad juara bertahan itu meskipun sudah mencecah usia 38 tahun.
Natxo menjadi pilihan utama dalam aksi domestik mahupun di pentas antarabangsa dengan pemain tengah bertahan itu merekodkan 29 perlawanan termasuk 10 perlawanan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) musim 2024/2025. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram