Melaka Titans seperti 'copy ori' Penang Black Panther, Azlan Alias bangkit singkirkan Kedah


  • Podium
  • Sabtu, 31 Mei 2025

Azlan sebelum ini difahamkan perlu berehat selama dua bulan susulan kecederaan dialaminya. — Facebook/STL

MELAKA Titans berjaya melangkah ke separuh akhir saingan Divisyen 1, Liga Sepak Takraw (STL) selepas menewaskan Kedah Eagles 2-1 dalam aksi suku akhir yang berlangsung di Stadium Tertutup Sukpa, Kuantan, Pahang pada Sabtu. 

Turun dengan barisan utama yang terdiri daripada Syahir Rosdi selaku tekong, Zaim Razali (pengumpan), dan Yodsanon Laemthaisong (perejam), Titans mempamerkan aksi meyakinkan apabila memenangi set pertama 15-11.

Namun, prestasi mereka sedikit menurun pada set kedua. Kedah Eagles memanfaatkan peluang tersebut untuk mendahului 9-7, sebelum Titans membuat pertukaran dengan memasukkan Azlan Alias menggantikan Yodsanon. 

BACA LAGI: Azlan Alias retak tulang siku, Melaka Titans jumpa perejam dari Thailand sebagai pengganti

BACA LAGI: Sah retak siku, Azlan Alias perlu berehat 2 bulan

Azlan yang baru pulih daripada kecederaan lengan ketika mewakili negara dalam Piala Asia, bagaimanapun tidak mampu menghalang Eagles daripada meraih kemenangan 15-11, sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan. 

Kehadiran Azlan nyata memberi impak besar dalam set ketiga apabila Titans kembali menemui rentak permainan dan menamatkan perlawanan dengan kemenangan 15-11, sekali gus menempah slot ke separuh akhir. 

Penampilan perejam kebangsaan itu agak mengejutkan susulan sebelum ini, Azlan difahamkan memerlukan masa sekurang-kurangnya dua bulan untuk pulih sepenuhnya sebelum dapat kembali beraksi. 

Selain penampilan cemerlang wira negara itu, gabungan antara Zaim, Syahir dan Azlan nyata membuatkan para penyokong mengimbau kenangan Penang Black Panthers apabila ketiga-tiga mereka pernah bermain pada saingan STL 2016 dan 2018. 

"Seram tengok Azlan landing, rehat dulu lah. Kejohanan ini bagi adik-adik saja main. Tak pun suruh Zaim main perejam," kata penyokong, Kamal Mohd Nor yang khuatir akan keadaan Azlan. 

"Penang Black Panther Copy Ori AAA," kata penyokong, Muhammad Wira.

"Gandingan Penang Black Panther suatu ketika dahulu bertemu semula dalam pasukan Melaka padu-padu," tambah pengikut STL, Firdaus Appy. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram