[VIDEO] Safiq Rahim 'jejaka payung' Hafizh Syahrin, saksikan JDT Racing Team raih podium Sepang


  • Podium
  • Selasa, 03 Jun 2025

Safiq (kiri) meluangkan masa di Litar Antarabangsa Sepang sambil memberi sokongan motivasi buat Hafizh Syahrin (tengah). — Facebook/JDT Racing Team

SEPANJANG kariernya sebagai pemain bola sepak, Safiq Rahim boleh diangkat sebagai seorang legenda kerana sudah menjulang pelbagai trofi, lebih-lebih lagi semasa beraksi buat Selangor dan Johor Darul Ta'zim (JDT).

Bekas kapten Harimau Malaya tersebut sememangnya antara nama cukup dikenali ramai dengan kebolehannya melakukan hantaran serta nilai kepimpinannya di atas padang menaikkan lagi reputasinya.

Namun, dengan usianya sudah mencecah 37 tahun, khidmat Safiq kini kurang ditagih skuad Harimau Selatan di atas padang, namun kepentingannya masih diketahui ramai di dalam bilik persalinan.

BACA LAGI: Masalah brek tidak halang Hafizh Syahrin hadiahkan JDT gelaran sulung ARRC

BACA LAGI: Pernah minta bantuan KBS, TMJ penyelamat karier Hafizh Syahrin

Safiq Rahim sudah menjulang pelbagai trofi sepanjang kariernya di atas padang.

Ini kerana anak jati Kuala Selangor itu diperlukan untuk menyuntik semangat buat rakan sepasukan serta 'ubi muda' JDT yang berjaya mendominasi arena bola sepak tempatan kebelakangan ini.

Malah, baru-baru ini, suntikan semangat Safiq Rahim turut ditagih di litar perlumbaan apabila dia hadir memberi sokongan kepada Hafizh Syahrin yang kini beraksi buat JDT Racing Team.

Dalam satu hantaran di laman Facebook mereka, kelihatan ikon Harimau Selatan tersebut berada di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor bersama pelumba itu sebelum Kejuaraan Asia Road Racing (ARRC) pada Sabtu lalu.

Lebih menarik lagi, menerusi video dimuat naik di SPOTV, Safiq tampil memayungi Hafizh Syahrin sebelum perlumbaan dengan kelibatnya mencuri perhatian peminat dunia permotoran dan sukan bola sepak.

"Saya sokong kawan-kawan saya, sokong pasukan," katanya ringkas.

Kehadiran Safiq di litar ternama itu jelas membawa perbezaan besar kerana Hafizh Syahrin berjaya meraih podium di tempat kedua dengan catatan masa 25’25.090 saat (s) yang melonjakkan lagi reputasi pasukan tersebut.

Hafizh memulakan perlumbaan di belakang jaguh Thailand, Apiwath Wongthananon sementara seorang lagi wakil negara, Azroy Hakeem Anuar menduduki tempat ketiga bagi kategori Asian Superbike 1000 (ASB1000).

Perlumbaan berkenaan berakhir dengan pelumba negara mendominasi podium dengan Azroy berada di kedudukan teratas, Hafizh di tangga kedua sementara pelumba Honda, Zaqhwan Zaidi menduduki tempat ketiga.

Keputusan tersebut menyaksikan Zaqhwan dan Hafizh masing-masing menghambat pendahulu keseluruhan ASB1000, Nakarin Atiratphuvapat dengan 56 dan 47 mata, namun pelumba Thailand itu masih mendahului dengan kelebihan satu mata.

Hafizh dan Zaqhwan berpeluang merampas tampuk pendahulu ASB1000 menerusi perlumbaan kedua yang akan diadakan pada 1 Jun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram