
SELEPAS melakukan rombakan besar-besaran apabila melepaskan 22 pemainnya secara serentak, Penang FC juga pastinya dalam persiapan untuk mencari tonggak baharu bagi memperkuatkan skuad Harimau Kumbang untuk musim baharu nanti.
Meskipun tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai pemain baharu mereka, khabar angin mengenai itu sudah mula tersebar di media sosial dengan beberapa nama dikaitkan dengan Harimau Kumbang.
Menerusi perkembangan daripada pemerhati bola sepak tanah air, T.Avineshwaran berkongsi bahawa pasukan Utara tanah air berkenaan hampir menandatangani penyerang dari Ivory Coast, Tchetche Kipre.
BACA LAGI: Sah tinggalkan Penang, tak mustahil Rafael Vitor milik JDT, jadi bek baharu HM
"Difahamkan bahawa Pulau Pinang hampir menandatangani penyerang dari Ivory Coast, Tchetche Kipre. Pada usia 37 tahun, dia masih menjadi pemain import yang diminati di Malaysia.
"Dua lagi pemain dari Brazil juga dijangka tiba. Nama mereka ialah Thiago dan Danilo, tetapi tiada butiran lanjut didedahkan," tulisnya pada ciapan yang dimuat naik pada Isnin di platform X.
Khabar angin berkenaan semakin rancak dibincangkan apabila ia turut dikuatkan dengan maklumat dari Transfermarkt yang menyatakan kontrak Kipre bersama Kuching City akan tamat pada 31 Mei ini.
Kipre yang berhijrah ke Kuching City pada awal musim 2024 menyaksikan bekas penyerang Kuala Lumpur City tersebut mencetak lima gol dan membuat tujuh bantuan hantaran selepas 25 perlawanan liga.
Jika perpindahan tersebut menjadi kenyataan, Penang FC bukan sahaja memperoleh seorang penyerang yang terbukti berkesan, malah seorang pemimpin berpengalaman yang mampu menjadi contoh kepada barisan pemain muda dalam pasukan.
Sementara itu, dua pemain import yang bakal tiba di Pulau Mutiara itu sepertinya akan mengisi kekosongan pertahanan tengah mereka iaitu Rafael Vitor selepas bek Brazil tersebut memutuskan untuk meninggalkan Harimau Kumbang selepas lima musim.
Sepanjang tempoh tersebut, Vitor sudah membuat 119 penampilan rasmi dalam semua kejohanan untul Penang dengan dia menyumbang 22 jaringan gol, ia merupakan satu pencapaian luar biasa bagi seorang pemain pertahanan tengah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram