Pernah minta bantuan KBS, TMJ penyelamat karier Hafizh Syahrin


  • Podium
  • Isnin, 22 Apr 2024

Hafizh menjuarai ARRC, China bersama jenteranya Ducati Panigale V4R pada Sabtu lalu.

PELUMBA negara, Hafizh Syahrin Abdullah meraih kejuaraan sulung bersama JDT Racing Team pada Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024 di Litar Antarabangsa Zhuhai, di China pada Sabtu.

Pelumba berusia 29 tahun itu mengungguli perlumbaan pertama pusingan kedua kategori Asia Superbike 1000cc dengan merekodkan 20 minit 24.461 saat (s) selepas melengkapkan 13 pusingan.

Andi Farid Izdihar dari Indonesia yang mewakili Honda Asia-Dream Racing with Astemo pula meraih tempat kedua dengan 20:25.215s diikuti Azlan Shah Kamaruzaman dari pasukan TKKR BMW Racing Team ketiga (20:27.603s).

Ini merupakan kemenangan pertama JDT Racing Team pada penampilan sulung dalam ARRC selepas Hafizh Syahrin meraih tempat kedua pusingan pertama di Litar Antarabangsa Chang, Thailand bulan lepas.

BACA LAGI: Tak perlu 'try hard' guna orang putih suntik DNA baharu — Pemerhati

Rata-rata peminat motosikal meluahkan penghargaan kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana menyelamatkan karier Hafizh dalam sukan permotoran selepas hampir bersara akibat sukar mendapat bantuan daripada mana-mana agensi.

"Terima kasih kepada TMJ yang meberikan peluang untuk beliau beraksi semula, nak harapkan menteri, tak hargai bakat yang ada," jelas M Syafiq San.

"Terbaik TMJ, kerana jasanya karier Hafizh Syahrin dapat diselamatkan," kata Tn Man.

"Terima kasih JDT Racing, tahniah Hafizh Syahrin dan bapanya," ujar Mohd Tahirpj.

BACA LAGI: Stadium MBPJ berwajah baharu, fans sedih kontraktor buat kerja ala kadar

Main

Hafizh meraih kedudukan kedua Perlumbaan 2 kelas elit ARRC di Buriram, Thailand pada bulan lalu.

Sebelum ini, media pernah melaporkan Hafizh meminta bantuan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sehingga mendapat perhatian daripada pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 2021.

Ia selepas keluhan Hafizh dalam menghadapi perjalanan karier yang semakin sukar sejak 2019 akibat seluruh dunia dilanda pandemik Covid-19 menyebabkan ramai penaja menarik diri dan tidak dapat memberikan sokongan 100 peratus.

KBS ketika itu hanya dapat membantu Hafizh untuk mencari tajaan bagi dirinya meneruskan karier dalam sukan permotoran pada tahun tersebut.

Selepas tiga tahun meneliti isu Hafizh, TMJ mengotakan janjinya dengan menubuhkan JDT Racing Team serta memilihnya sebagai wakil Harimau Selatan dalam saingan ARRC 2024.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram