'Tak mustahil pulang ke Brazil, pemergian Rafael Vitor cipta kehilangan besar buat Penang'


  • Podium
  • Isnin, 02 Jun 2025

Rafael Vitor meninggalkan skuad Harimau Kumbang untuk mencuba nasib di destinasi baharu. — Facebook/Penang FC

KEHILANGAN besar dialami Penang FC kerana pada Ahad, kelab Utara tanah air itu mengesahkan pemergian bek tengah merangkap kapten pasukan, Rafael Vitor selepas lima tahun berbakti.

Dia yang merekodkan 119 penampilan buat skuad Harimau Kumbang sepanjang tempoh tersebut boleh dikatakan sebagai nadi utama kelab dengan nilai kepimpinannya memainkan peranan penting.

Tidak cukup dengan itu, pemain kelahiran Brazil berkenaan membawa kelebihan buat Penang FC dalam aspek serangan dengan 22 gol berjaya dicetak sepanjang berada di Utara tanah air.

BACA LAGI: Sah tinggalkan Penang, tak mustahil Rafael Vitor milik JDT, jadi bek baharu HM

BACA LAGI: Penalti minit akhir Rafael Vitor hadiahkan senyuman buat Harimau Kumbang

Rafael Vitor berbahaya di hadapan pintu gol lawan meskipun hanya beraksi sebagai bek tengah. Facebook/Penang FC

Lebih menarik lagi, pada musim keduanya bersama skuad Harimau Kumbang, Vitor pernah meledak hatrik ketika berdepan Perak FC dalam saingan Liga Super dengan catatan itu menceritakan kebolehannya di hadapan gawang lawan.

Jadi, pemergiannya dijangka meninggalkan kelompongan besar dalam pasukan berkenaan musim depan dengan jurulatih berpengalaman, Suhaimi Hussin turut bersetuju dengan perkara tersebut.

"Jatuh bangun Penang FC dalam lima tahun kebelakangan ini, Rafael Vitor sudah berada di belakang pasukan. Jadi, ini menunjukkan dia sudah menjadi tulang belakang pasukan.

"Saya pasti kehilangannya akan memberi impak sangat besar kerana semangat dan nilai kepimpinan ditunjukannya wajar dipuji. Dia yang tegas, namun dalam masa sama membimbing pemain muda adalah faktor yang membantu Penang bangkit selepas kemasukan Wan Rohaimi," katanya kepada Majoriti.

Sulaiman Hussin menganggap pemergian Rafael Vitor akan mencipta kehilangan besar dalam Penang FC.

Meskipun tidak pernah mengecapi sebarang pencapaian bersama skuad Harimau Kumbang, Vitor memilih untuk kekal setia meskipun kebolehannya sesuai dengan kelab-kelab lebih baik seperti Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC.

Keputusannya untuk kekal di Utara tanah air turut membuatkannya cukup dijulang penyokong Penang FC yang mula khuatir sama ada pihak pengurusan dapat mencari pengganti bagi kempen akan datang.

"Walaupun kadang-kadang pasukannya berasa kecewa kerana ketinggalan, pasti Rafael Vitor ada untuk menjaringkan gol mahupun menghalang pihak lawan menambah jaringan.

"Selain itu, setiap kali Penang FC mendapatkan sepakan penalti, dia merupakan pemain pertama akan mengambilnya dengan terdapat kemungkinan besar bola akan menerpa jaring. Jadi, ia menceritakan kehilangan besar disebabkan pemergiannya," katanya lagi.

Walaupun tidak pernah berpeluang membimbing bek skuad Harimau Kumbang itu, Sulaiman boleh dikatakan cukup dekat akan landskap bola sepak di Pulau Pinang kerana dikaitkan dengan peranan pengarah teknikal kelab sebelum ini.

Rafael Vitor pernah disebut-sebut sebagai calon baharu pemain naturalisasi negara. Facebook/FAM

Selain itu, dia yang sudah bertahun-tahun menceburi bidang kejurulatihan tentu menmahami kehilangan besar ditinggalkan Rafael Vitor dan impak akan dihadapi skuad Harimau Kumbang.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai masa depan pemain berusia 32 tahun tersebut, Sulaiman beranggapan terdapat kemungkinan dia akan kembali ke Brazil berbanding liga lain.

"Saya tidak pasti mengenai perancangannya, tetapi jika mahu kekal dalam Liga Malaysia, mana-mana pasukan boleh menggunakan khidmatnya atau di rantau Asia Tenggara. Selain itu, dia mungkin menerima tawaran dari kelab di negara kelahirannya.

"Saya tidak tahu sama ada dia layak terima status naturalisasi atau tidak, tetapi saya rasa ada pemain di hujung karier akan memilih untuk pulang ke negara asal selepas lama berkelana di luar negara," katanya.

Vitor sebelum ini hangat dikaitkan sebagai bek baharu Harimau Malaya selepas memenuhi syarat lima tahun di Malaysia, namun keputusan masih belum diberikan mana-mana pihak berwajib. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram