Pernah dibimbing ex-Barcelona, ketahui 3 hal menarik calon warisan baharu Harimau Malaya


  • Podium
  • Selasa, 03 Jun 2025

Betancor yang merupakan penjaring terbanyak Liga Greece boleh menyelesaikan isu ketumpulan skuad kebangsaan. — Agensi

USAHA memperkuatkan skuad kebangsaan sedang sibuk diteruskan kerana khabar angin mengatakan Jon Irazabal dan Rodrigo Holgado akan menyertai kem Harimau Malaya dalam masa terdekat.

Sekiranya kedua-dua pemain itu tiba seperti mana dilaporkan, pasukan negara akan menyaksikan kehadiran empat bintang warisan baharu selepas Hector Hevel dan Gabriel Palmero turut berbuat demikian.

Ini merupakan satu langkah positif ke arah cita-cita menjadikan Harimau Malaya lebih digeruni selepas pelaburan besar dibuat yang memerlukan hasil lumayan dan memuaskan.

BACA LAGI: Aksi liga berlangsung Ahad, wartawan Colombia dedah penyerang warisan sertai kem HM berdepan Vietnam

BACA LAGI: Bagaikan rahmat, 3 langkah wajar diterap Kedah jika sah ke Liga A1

Ketajaman Betancor menyaksikannya ditandatangani Olympiacos FC. Agensi

Bagaimanapun, di sebalik nama-nama dikaitkan itu, kedengaran pula ura-ura mengatakan jentera serangan negara bakal dikuatkan dengan kehadiran penjaring terbanyak Liga Greece, Jefte Betancor.

Dia yang beraksi buat Panserraikos FC musim lalu dikatakan bakal menjadi pemain warisan baharu selepas kelihatan fotonya memegang pasport Malaysia yang bagaimanapun belum disahkan setakat ini.

Namun, sekiranya skuad kebangsaan dapat menggunakan khidmatnya, ia sudah tentu membawa perbezaan besar kerana dia memiliki sentuhan yang boleh digandingkan Holgado atau mana-mana penyerang lain.

Ini kerana selain memiliki rekod cukup baik sepanjang karier, Betancor mempunyai latar belakang cukup baik yang sekali gus menjadikannya penyerang sesuai buat Harimau Malaya.

1. Pernah terima tunjuk ajar legenda Romania

Seperti dinyatakan di atas, calon pemain warisan baharu itu kini beraksi bersama Panseraikos FC di Liga Greece secara pinjaman dari gergasi bola sepak di negara itu, Olympiacos FC.

Bagaimanapun, sebelum tiba di liga itu, Betancor pernah berkelana di beberapa negara sepanjang kariernya, termasuk di Romania yang menyaksikannya menyertai tiga pasukan.

Hagi merupakan ikon bola sepak Romania yang masih dihormati sehingga hari ini. Agensi

Pengalaman di sana mendedahkannya dengan pelbagai momen bermakna, termasuk peluang menimba ilmu di bawah kendalian Gheorghe Hagi semasa beraksi buat FCV Farul Constanta.

Untuk rekod, Hagi merupakan legenda di Romania kerana pernah beraksi sebanyak 124 kali buat pasukan kebangsaan selain menyertai beberapa kelab ternama seperti Galatasaray FK dan FC Barcelona.

Tunjuk ajar diterima sepanjang bersama jurulatih berkenaan menyaksikan ketajaman Betancor di hadapan pintu gol semakin terserlah selepas dia mencetak 16 gol dalam 36 penampilan buat pasukan itu.

2. Jarang alami isu kecederaan

Masalah kecederaan dan kecergasan merupakan satu isu yang cukup merisaukan barisan kejurulatihan, termasuk buat skuad Harimau Malaya kerana hal tersebut akan merencatkan segala perancangan.

Namun, sekiranya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berjaya mendapatkan khidmat Betancor, perkara berkenaan tidak perlu dikhuatiri memandangkan rekod terdahulunya adalah cukup baik.

Holgado jarang mengalami isu kecederaan yang menjadikannya aset berharga buat Harimau Malaya. Agensi

Berdasarkan statistik dikongsikan di laman transfermarkt, penyerang tersebut hanya pernah terlepas tiga perlawanan sepanjang kariernya akibat kecederaan, iaitu pada dua musim lalu.

Meskipun kecederaan sebenar tidak dipastikan, ia sudah cukup untuk menceritakan penyerang tersebut akan cergas dalam hampir kesemua perlawanan jika khidmatnya diperlukan.

Malah, dengan pelaburan besar dilakukan buat FAM, kelengkapan perubatan serba canggih boleh disediakan untuk memastikan tiada sebarang risiko timbul pada masa-masa mendatang.

3. Pernah terfikir mahu bersara seawal usia 24 tahun

Ketika ini, Betancor diangkat sebagai antara penyerang paling prolifik di Greece sehingga Olympiacos FC sanggup mendapatkan khidmatnya meskipun sudah melebihi usia 30-an.

Bagaimanapun, tahukah anda bahawa penyerang tersebut pernah terdetik untuk berusia seawal usia 24 tahun kerana kurang mendapat minit permainan ketika masih berada di Sepanyol.

Betancor ketika beraksi buat skuad simpanan Las Palmas beberapa tahun lalu. Agensi

Dia yang ketika itu beraksi buat pasukan simpanan Las Palmas dipanggil ke dalam skuad utama, namun hanya diletakkan di bangku simpanan untuk tiga perlawanan.

Situasi tersebut menyaksikannya mula mempersoalkan nilai diri sebelum dipinjamkan ke San Fernando dan akhirnya dilepaskan ke Union Vieira dengan kedua-dua perpindahan berkenaan sukar diterimanya.

Tetapi, Betancor akhirnya dipujuk untuk kekal dalam dunia bola sepak selepas bertemu pakar psikatri serta menerima nasihat ahli keluarga yang menyaksikannya kekal beraksi sehingga hari ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram