Faiz Subri label Rafael Vitor legenda Penang FC, legasi ditinggalkan akui sukar diganti


  • Podium
  • Selasa, 03 Jun 2025

Faiz Subri (kiri) menzahirkan perasaan sebak atas pemergian Rafael Vitor yang boleh diangkat sebagai legenda Penang FC.

PEMERGIAN Rafael Vitor yang merupakan kapten Penang FC untuk kira-kira lima musim sudah tentu mencetuskan kehilangan besar dalam skuad Harimau Kumbang yang memerlukan penggantinya segera.

Selain terpaksa mencari seorang yang lasak dalam barisan pertahanan, kelab Utara tanah air itu perlu membawa masuk seseorang dengan nilai kepimpinan yang baik seperti mana dipamerkan pemain Brazil itu sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Kesungguhan ditonjolkan setiap kali diturunkan menjadikan bek tinggi lampai tersebut seorang idola bagi penyokong dengan pemergiannya pasti membuatkan ramai merindui kelibatnya bagi kempen akan datang.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Penang kilang Puskas', jaringan memukau keeper muda Harimau Kumbang imbau kenangan gol Faiz Subri

BACA LAGI: [VIDEO] Gol ajaib Faiz Subri pernah curi tumpuan peminat bola sepak dunia

Rafael Vitor meninggalkan kesan cukup besar sepanjang lima musim beraksi buat skuad Harimau Kumbang. Facebook/Penang FC

Malah, perasaan itu turut dikongsikan bekas pemain Harimau Kumbang, Faiz Subri yang sempat menyatakan penghargaan terhadap Vitor yang berjaya mencipta legasi besar yang tentu sukar dilupakan.

"Lima musim bukan satu tempoh yang singkat dalam dunia bola sepak, apatah lagi bagi seorang pemain import. Dia bukan sahaja menjadi tonggak pertahanan pasukan, malah menjadi inspirasi kepada rakan sepasukan, jurulatih dan juga penyokong.

"Dia bukan sahaja menjadi tonggak pertahanan pasukan, malah menjadi inspirasi kepada rakan sepasukan, jurulatih dan penyokong. Setiap kali melangkah ke padang, Vitor bermain dengan penuh jiwa dan semangat. Dia bukan hanya mempertahankan gawang, tetapi membawa maruah Pulau Pinang bersama-sama dalam setiap perlawanan," katanya kepada Majoriti.

Pemergian kapten Harimau Kumbang itu diumumkan kelab tersebut pada Ahad lalu selepas dia pada awalnya berada dalam senarai pemain dikekalkan Wan Rohaimi Wan Ismail menjelang musim baharu.

Kenyataan tersebut sememangnya mengejutkan kerana bek berusia 32 tahun itu mempunyai masa depan cerah bersama pasukan itu selepas hampir lima tahun berbakti dengan ada kemungkinan dia akan diberikan status naturalisasi.

Faiz Subri yang memenangi Anugerah Puskas pada 2016 mengangkat legasi ditinggalkan Rafael Vitor. Agensi

Jelas Faiz Subri lagi, pemergian pemain terbabit akan meninggalkan kekosongan besar yang perlu diisi segera, namun memahami bahawa tugasan berkenaan sukar buat pihak pengurusan kerana impak ditinggalkan Vitor sukar diperkecilkan.

"Vitor meletakkan satu ‘benchmark’ tinggi untuk mana-mana pemain yang akan datang menggantikan tempatnya. Sebagai bekas rakan sepasukan dan seseorang yang pernah berkongsi padang bersamanya, saya sendiri dapat rasakan betapa dia benar-benar mencintai kelab ini. 

"Walaupun perjalanan dia bersama Penang FC kini sampai ke penghujungnya, jasa dan pengorbanan dia akan terus hidup dalam ingatan kami semua. Vitor bukan sekadar bekas pemain, dia sudah menjadi legenda Penang FC, dia sentiasa dialu-alukan pulang ke rumah kedua di Pulau Pinang," katanya lagi.

Faiz Subri juga boleh diangkat sebagai ikon bola sepak di negeri itu selepas kejayaannya merangkul Anugerah Puskas 2016 menaikkan nama pasukan berkenaan serta arena bola sepak tanah air.

Meskipun kini tidak lagi aktif di atas padang, pemain kelahiran Kubang Pasu, Kedah itu masih terlibat secara dekat dengan Penang FC selepas berkali-kali menyaksikan perlawanan di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram