[VIDEO] Gol ajaib Faiz Subri pernah curi tumpuan peminat bola sepak dunia


  • Podium
  • Khamis, 28 Dis 2023

Faiz (tengah) dikerumuni oleh rakan sepasukan dan pegawai skuad Penang selepas menjaringkan gol cantik menentang Sri Pahang. — Agensi

BOLA sepak Malaysia mungkin bukanlah yang terbesar di dunia. Beberapa tahun ke belakang, kita bukanlah pasukan disegani di peringkat global waima Asia.

Namun kebelakangan ini, Harimau Malaya mula mendapat perhatian dengan peningkatan prestasi dan reputasi mereka semakin baik.

Tetapi, satu masa dulu, nama pemain Penang FC iaitu Faiz Subri pernah sendirian meletakkan Malaysia di mata dunia menerusi gol ajaibnya.

Pada 2016, Faiz melakukan satu sepakan percuma yang begitu cantik dalam perlawanan Liga Super menentang Sri Pahang FC di Stadium Bandaraya, Georgetown.

Perlawanan yang berakhir dengan kemenangan 4-1 memihak Harimau Kumbang itu, menyaksikan Faiz menghasilkan gol yang begitu cantik hingga berjaya tercalon dalam Anugerah Puskas FIFA.

Ketika pencalonan akhir dikeluarkan, gol Faiz itu mendapat tontonan melebihi dua juta oleh peminat bola sepak seluruh dunia apabila FIFA memuat naik jaringan tersebut di laman YouTube mereka.

Pada waktu tersebut, Faiz yang berasakan dirinya bukan pilihan untuk memenangi anugerah itu menganggap calon-calon lain juga berpotensi untuk menggondol gelaran tersebut.

"Semua calon mempunyai peluang yang sama rata untuk menang, sesiapa yang mempunyai undian tertinggi akan menjadi pemenang," kata Faiz.

Faiz kemudiannya berjaya menjadi pemenang Anugerah Puskas di malam FIFA Best Awards dengan menewaskan calon-calon lain iaitu Marlone daripada Brazil serta Daniuska Rodriguez yang merupakan wakil tunggal wanita.

Dia mencipta rekod menjadi pemain Asia serta anak Malaysia pertama yang memenangi anugerah tersebut yang diperkenalkan pada 2009.

Kini, video gol Faiz itu telah mencatatkan 4.9 juta tontonan sambil dibanjiri dengan pelbagai komen-komen memuji keindahan jaringan tersebut.

Faiz bagaimana pun sudah tidak lagi beraksi dengan mana-mana pasukan selepas tidak mempunyai kelab pada usia 36 tahun. Kelab terakhirnya adalah Penang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram