
KEMERIAHAN Liga Super musim depan kian luntur selepas dua kelab gergasi, Perak FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC tidak memperolehi lesen kebangsaan berikutan kegagalan memenuhi kriteria kewangan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Ini kerana kedua-dua pasukan Utara tanah air tersebut memiliki sejarah cukup hebat dalam arena bola sepak tempatan selain mempunyai sokongan kukuh daripada penyokong meskipun berada dalam prestasi mengecewakan pada kempen lalu.
Ketiadaan Perak FC dan KDA FC dalam Liga Super 2025/26 mendesak rata-rata pemainnya mencari kelab baharu demi kelangsungan karier masing-masing serta mencari rezeki demi keluarga sendiri.
BACA LAGI: Hampir lengkap, 3 tonggak Perak FC termasuk Wan Zack selangkah sarung jersi Harimau Kumbang
BACA LAGI: Dikaitkan dengan Melaka, Sikh Izhan serah nasib kepada Selangor
Skuad TBG sudah tentu akan dirindui musim depan selepas gagal memperolehi lesen kebangsaan. — Facebook/Perak FC
Antara yang sudah berbuat demikian ialah tonggak skuad The Bos Gaurus (TBG), Wan Zack Haikal Wan Noor selepas khabar angin kuat mengatakan dia bakal menyertai Penang FC bagi kempen akan datang.
Pemain yang cukup setia bersama Perak FC itu sebelum ini dilaporkan pernah menolak tawaran pasukan lain kerana mahu kekal menabur bakti meskipun terpaksa berdepan isu tunggakan gaji serius.
Bagaimanapun, dengan kelab tersebut sudah 'terkubur', bekas bintang Harimau Malaya itu akhirnya terpaksa akur dengan takdir dan memilih untuk menyertai skuad bimbingan Wan Rohaimi Wan Ismail berkenaan.
Tetapi, di sebalik keputusan terbabit, Wan Zack Haikal seperti masih terkilan dengan pengurusan skuad TBG yang seperti belum menyelesaikan setiap kemelut berlaku berdasarkan luahan dikongsikan di laman Instagram peribadinya.
"Setiap keringat tertitis buat Perak FC, aku halalkan. Setiap bakti yang aku tabur, aku halalkan demi cinta aku pada karier aku yang tak pernah padam. Tapi, keikhlasan tak dapat membayar mulut untuk disuap.
Luahan dikongsikan Wan Zack menerusi satu hantaran di Instagram peribadinya.
"Ada senyuman, ada tangisan. Sebuah perjalanan yang indah walau berliku, sebuah pengalaman yang tak dapat dilupakan. Terima kasih fans kerana sentiasa bersama dalam perjuangan. Terima kasih rakan sepasukan kerana sentiasa memberikan yang terbaik," tulisnya.
Wan Zack Haikal menyertai skuad TBG pada 2022 dengan mereka ketika itu berada dalam Liga Perdana dengan dia menerima tawaran tersebut disebabkan tidak terikat dengan mana-mana pasukan susulan dilepaskan Selangor FC.
Meskipun sudah dimamah usia, pemain sayap berkenaan masih dapat mencurahkan khidmat terbaik yang menyaksikan Perak FC menamatkan saingan musim ini di tangga ketujuh selepas mencatatkan tiga gol dan empat bantuan jaringan dalam 22 penampilan.
Prestasi memberangsangkan berkenaan sudah tentu diharapkan mampu diulangi bersama skuad Harimau Kumbang musim depan yang bercita-cita besar selepas dilaporkan sedang merombak pasukan secara menyeluruh.
"Terima kasih barisan kejurulatihan untuk kepercayaan dan tunjuk ajar. Terima kasih XOX kerana pernah menyelamatkan dan berjasa kepada Perak FC. Terima kasih ALLAH menghadirkan orang-orang baik di Perak FC yang tak pernah putus membantu," katanya lagi.
Penghijrahan keluar pemain dari skuad TBG sudah tentu akan rancak disaksikan dalam masa terdekat memandangkan masing-masing perlu segera mencari kelab baharu demi kelangsungan karier masing-masing. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram