
KAPTEN Penang FC, Rafael Vitor sah tidak akan bersama pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Super musim 2025/2026, sekali gus menamatkan perjalanan lima musim penuh kenangan bersama skuad Harimau Kumbang.
Pemain pertahanan tengah kelahiran Brazil berusia 32 tahun itu menyertai Penang FC pada 2020 dan sejak itu menjadi tonggak utama benteng pertahanan pasukan, selain menggalas tugas sebagai ketua pasukan.
Dalam satu kenyataan rasmi pada Ahad, pihak pengurusan Penang FC menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada Vitor atas segala sumbangan yang telah dicurahkan sepanjang lima musim beraksi di bumi Pulau Pinang.
BACA LAGI: Sah tinggalkan Penang, tak mustahil Rafael Vitor milik JDT, jadi bek baharu HM
BACA LAGI: Penalti minit akhir Rafael Vitor hadiahkan senyuman buat Harimau Kumbang
“Nama Rafael Vitor akan terus terpahat sebagai antara pemain import paling lama berkhidmat dalam sejarah kelab ini. Beliau menjadi simbol kekuatan, semangat dan kesetiaan dan nilai-nilai yang amat kami hargai,” menurut kenyataan itu.
Sepanjang tempoh tersebut, Vitor sudah membuat 119 penampilan rasmi dalam semua kejohanan untul Penang dengan dia menyumbang 22 jaringan gol, ia merupakan satu pencapaian luar biasa bagi seorang pemain pertahanan tengah.
Dengan pemergian Vitor yang bukan hanya berfungsi di bahagian belakang tetapi juga efisien dalam mencari gol buat pasukan, terdapat tiga pemain pertahanan boleh dipertimbangkan Harimau Kumbang untuk mendapatkan khidmatnya.
1) Yuran Fernandes
Penang wajar kejar Yuran Fernandes untuk kuatkan pertahanan. — Agensi
Bek tengah Cape Varde, Yuran Fernandes boleh menjadi sasaran Penang FC pada saingan musim depan lagi-lagi pemain itu dikaitkan dengan isu kontroversi apabila digantung oleh Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) kerana mengeluarkan komen terhadap sukan itu.
Tidak dinafikan, PSSI memutuskan untuk mengurangkan hukuman 12 bulan Yuran kepada tiga bulan dan membayar denda sebanyak IDR 25 (RM6,775) namun ia masih membuka pintu peluang kepada kelab Liga Super untuk mendapatkan khidmatnya.
Bercakap mengenai kelebihan pemain berusia 30 tahun itu, Yuran yang menyarung lilitan kapten PSM Makassar itu boleh mengisi kekosongan yang ditinggalkan Vitor sebagai ketua pasukan dan pertahanan tengah.
Dari segi statistik jaringan pula, Yuran sudah mencetak 16 gol dan mencatat lapan bantuan jaringan dalam 107 penampilannya bersama PSM Makassar sejak menyertai pasukan itu pada musim 2022.
Bagaimanapun, pengurusan Harimau Kumbang perlu menebus kontrak pemain berketinggian 1.98 meter berkenaan sekiranya mahu merekrutnya susulan Yuran masih mempunyai perjanjian bersama PSM Makassar sehingga 31 Mei 2022.
2) Akmal Zahir
Akmal Zahir salah satu pertahanan terbaik Kedah. — Facebook/MFL
Kedah Darul Aman (KDA) FC yang sah tidak mendapat Lesen Kebangsaan Liga Super musim 2025/2026 menyaksikan satu-satu pemain Sang Kenari termasuk Mohd Akmal Md Zahir dikhabarkan mendapat tawaran lain daripada kelab lain.
Sejak menyertai pasukan Utara tanah air berkenaan pada 2022, Akmal Zahir telah menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan dalam kariernya sebagai pemain pertahanan tengah apabila dia mendapat banyak peluang bermain.
Sumbangannya turut membantu Kedah mencatat beberapa keputusan positif di liga, kejohanan domestik dan Piala AFC 2022, dengan pemain berusia 31 tahun berkenaan sudah merekodkan 52 perlawanan bersama Sang Kenari.
Aksi konsistennya bersama Kedah selama tiga musim boleh membantu bahagian pertahanan Penang susulan seterus Sang Kenari itu sedang mempersiapkan diri untuk cabaran Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Akmal mungkin tidak mencapai kualiti diberikan Vitor namun jika pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu diberikan watak utama menjaga bahagian tengah, pasti tiada persembahan mengecewakan ditampilkannya.
3) Gabriel Peres
Peres memiliki kelebihan fizikal yang memberikannya keunggulan dalam perebutan bola di udara. — Instagram/gabrieelwotter
Pertahanan tengah Sabah FC, Gabriel Peres dilaporkan bakal meninggalkan kelab dalam masa terdeka selepas kontraknya dijangka tamat pada 31 Mei 2025, sekali gus membuka ruang untuk penghijrahan ke kelab lain.
Pemain pertahanan berketinggian 1.97 meter berkenaan kini dikaitkan dengan dua kelab dari negara jiran iaitu Malut United dan Persis Solo yang dilaporkan berminat mendapatkan khidmatnya.
Bagaimanapun, masih tiada sebarang pengesahan daripada Sabah mahupun dua kelab berkenaan. Oleh itu, Harimau Kumbang boleh menjalankan gerak kerja mereka untuk menghantar tawaran menarik kepada pemain berusia 28 tahun berkenaan.
Jika bercakap mengenai persamaan Peres dan Vitor, bek The Rhinos itu juga memberi sumbangan untuk jentera serangan apabila dia sudah mencetak 11 gol dan enam bantuan untuk Sabah dalam 54 penampilannya sejak musim 2023.
Dengan latar belakang Peres sebagai seorang pemain bertahan yang memiliki kelebihan fizikal dan pengalaman bersama Sabah FC dalam Liga Super, dia berpotensi untuk menyesuaikan diri dengan pantas di Penang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram