
SEPANJANG musim lalu, lambakan pemain mengambil keputusan meninggalkan Kedah Darul Aman (KDA) FC berikutan masalah dalaman dialami yang menyebabkan kebajikan masing-masing terabai.
Keputusan itu diambil dengan ada daripada mereka memilih untuk mencari angin baharu di negara lain, termasuk kapten pasukan, Sony Norde yang berkelana ke Indonesia dan menyertai Malut United FC.
Perpindahan tersebut dimeterai tidak lama selepas KDA FC dan kelab berkenaan terlibat dalam satu aksi persahabatan di Stadium Darul Aman, Kedah dengan penyerang sayap berkenaan turut beraksi.
BACA LAGI: 'We are family', Sony Norde 'support' gerai bekas rakan sepasukan di Kedah
BACA LAGI: Sony Norde kini jumpa kelab baharu, sertai Malut United di Indonesia
Sony Norde membantu Malut United FC menamatkan saingan Liga 1 Indonesia di tangga ketiga. — Agensi
Keputusannya untuk berkelana diterima secara terbuka oleh rata-rata penyokong Hijau Kuning yang berasakan Sony Norde menjadi mangsa pihak pengurusan selepas beberapa bulan tidak menerima bayaran gaji.
Bagaimanapun, ada juga yang berasa hairan akan perpindahan tersebut kerana ketika penghijrahan berkenaan dimeterai, Malut United FC berada di kedudukan ke-12 Liga 1 Indonesia dengan ia dilihat tidak menjanjikan perubahan dalam karier pemain berkenaan.
Tetapi, hasil daripada rentetan keputusan positif dicatatkan, pasukan kendalian Imran Nahumarury itu berjaya mendaki ke tangga ketiga liga, sekali gus memastikan kelayakan pasukan ke Piala Shopee musim depan.
Ia merupakan satu pencapaian cukup besar buat Malut United FC yang tidak pernah beraksi dalam kejohanan peringkat benua selepas bermusim-musim berada dalam divisyen kedua bola sepak Indonesia.
Namun, kejayaan tersebut tidak cukup untuk menyaksikan Sony Norde kekal dalam pasukan untuk kempen akan datang selepas timbul ura-ura mengatakan dia akan berkelana ke India dalam masa terdekat.
Sony Norde menghabiskan masa beberapa tahun di India bersama ATK Mohun Bagan. — Agensi
"Dalam satu perpindahan mengejut, Diamomnd Harbour FC yang baru sahaja dinaikkan pangkat ke divisyen utama mahu mendapatkan khidmat Sony Norde. Rundingan kini berada dalam fasa awal dengan Sony mempunyai pilihan untuk melanjutkan tempoh beraksi bersama Malut United FC," tulis CAS Sports.
Pemain berusia 35 tahun itu sememangnya tidak asing dengan suasana bola sepak di India kerana pernah beraksi buat ATK Mohun Bagan dan Mumbai City FC beberapa kali sebelum mencuba nasib di Liga Malaysia.
Malah, sehingga hari ini, peminat ATK Mohun Bagan masih teringat akan khidmatnya memandangkan kepantasan dan kelincahannya merupakan aset berharga, lebih-lebih lagi ketika dia masih muda.
Sekiranya Sony Norde mengambil keputusan untuk menyertai Diamond Harbour FC, dia akan menamatkan tempoh lima tahun beraksi sekitar Asia Tenggara selepas menyertai Melaka United FC pada 2020.
Untuk rekod, sepanjang separuh musim bersama Malut United FC, bekas pemain kebangsaan Haiti itu merekodkan 14 penampilan Liga 1 Indonesia, namun hanya merekodkan dua bantuan jaringan tanpa sebarang gol dijaringkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram