
KEDAH Darul Aman (KDA) FC menyatakan hasrat untuk beraksi dalam saingan Liga A1 Semi Pro musim depan berikutan keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk tidak memberikan lesen kebangsaan kepada kelab tersebut.
Dalam satu kenyataan dikongsikan di laman Facebook, pasukan berkenaan menyatakan langkah tersebut diambil sebagai cara membangunkan pasukan yang lebih stabil, tersusun dan telus.
"KDA FC ingin memaklumkan bahawa kelab kini sedang dalam proses menyertai dan akan mempersiapkan pasukan bagi menghadapi saingan Liga A1 Semi Pro. Langkah ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kelab untuk memastikan kelangsungan dan daya saingan KDA FC dalam arena bola sepak negara," tulisnya.
BACA LAGI: Kedah-Perak masih ada harapan, boleh bersaing dalam Liga A1
BACA LAGI: Perak rancang kebangkitan, guna skuad SUKMA sertai Liga A1
Kenyataan dikeluarkan kelab berkenaan perancangan menyertai Liga A1 Semi Pro. — Facebook/KDA FC
Skuad Sang Kenari menjadi salah satu pasukan gergasi tanah air yang gagal memperolehi lesen kebangsaan daripada MFL di samping Perak FC selepas tidak menepati kriteria kewangan ditetapkan.
Perkara itu berpunca daripada masalah berpanjangan dialami kedua-dua kelab tersebut musim lalu dengan laporan mengatakan pemain dan staf kejurulatihan tidak menerima bayaran gaji untuk beberapa bulan.
Meskipun laporan menyatakan KDA FC dan Perak FC memperolehi sumber kewangan baharu, badan pengelola Liga Super itu mengambil langkah tegas dengan enggan memberi lesen kebangsaan bagi saingan akan datang.
Menyedari keluhan dan kekecewaan peminat Hijau Kuning, pihak pengurusan KDA FC mengambil inisiatif memohon penyertaan dalam Liga A1 Semi Pro 2025/26 dengan kata putus hanya boleh diberikan Liga Bola Sepak Amatur (AFL).
Kos operasi dalam Liga A1 Semi Pro akan memberi manfaat besar.
"Tan Sri Mohd Daud Bakar selaku pemilik majoriti kelab akan mengadakan pertemuan bersama bekas pemain, barisan kejurulatihan dan kakitangan dalam masa terdekat bertujuan mencari solusi dan penyelesaian kepada isu tunggakan gaji secara teratur dan adil demi menjaga kebajikan dan profesionalisme semua yang terlibat.
"Dalam usaha membawa kelab ke tahap lebih baik, pihak KDA FC turut melakukan proses penstrukturan semula pengurusan kelab. Pelantikan barisan pengurusan baharu bukan sahaja akan menumpukan kepada penyelesaian isu tertunggak, malah akan merangkumi perancangan strategik jangka pendek dan panjang," tulisnya.
Berdasarkan rekod terdahulu, beberapa kelab pernah mengambil langkah sedemikian, termasuk Melaka FC dan Sarawak United yang masing-masing mengalami situasi sama selepas gagal memperolehi lesen kebangsaan.
Keputusan beraksi dalam Liga A1 Semi Pro adalah sesuatu pendekatan wajar dipuji kerana kos operasi, termasuk gaji dan yuran penyertaan akan mengurangkan tekanan terhadap pihak pengurusan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram