
SEJAK pengumumannya 22 Mei lalu yang membenarkan semua kelab mendaftarkan maksimum 15 pemain import bagi Liga Super musim 2025/2026, nama Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selaku badan pengelola terus meniti dari bibir ke bibir keluarga besar bola sepak negara.
Cuma, badan itu jadi buah mulut bukan kerana kebijaksanaan keputusannya tapi seminggu lamanya mereka terpaksa menelan pelbagai kritikan dan cemuhan kerana apa yang rata-rata disifatkan sebagai ketidakadilan dan diskriminasi.
Daripada membankrapkan pasukan, melebarkan lagi jurang keupayaan antara pesaing-pesaing, mewujudkan kasta kayangan dan marhaen selain membunuh perkembangan pemain tempatan, hampir tiada kata-kata yang baik dilontarkan.
BACA LAGI: Hampir lengkap, 3 tonggak Perak FC termasuk Wan Zack selangkah sarung jersi Harimau Kumbang
MFL perlu bersedia dengan kecaman penyokong atas peningkatan kuota import.
Lebih banyak teguran yang keras, banyak lagi yang menghentam tapi untuk mengharapkan MFL membuat pusingan U terhadap keputusan sebulat suara dalam mesyuarat Lembaga Pengarah Ke-13 Penggal 2021-2025 badan itu pada 21 Mei lalu boleh diumpamakan dengan bermimpi di siang hari.
Harus diakui ada pihak-pihak yang perlu dipertahankannya, ada kepentingan yang perlu dijaganya manakala memutuskan apa-apa langkah demi memanfaatkan yang ramai, seolah-olah bukan urusan harian mereka.
Dalam membenarkan pendaftaran maksimum 15 pemain import, sesebuah pasukan pada satu-satu perlawanan boleh menyenaraikan sembilan pemain -- empat kuota terbuka antarabangsa, satu Asia dan dua Asean di samping dua simpanan.
Ini meninggalkan hanya empat tempat untuk pemain tempatan berada di atas padang sekiranya pasukan menggunakan sepenuhnya kuota pemain import itu dalam sesuatu perlawanan.
Jumlah itu berbeza dengan musim lalu yang mana 12 pemain asing dibenarkan didaftarkan oleh kelab Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan ACL2 manakala kelab lain dibenarkan mendaftar sembilan import dengan enam pemain di atas padang dan seorang simpanan menerusi komposisi empat terbuka serta masing-masing satu Asia dan satu Asean.
Kata MFL, perubahan kuota import dibuat bagi memberi kesaksamaan kepada semua kelab dalam pendaftaran pemain import serta meningkatkan daya saing Liga Malaysia dengan kehadiran pemain import berkualiti berikutan jendela perpindahan pemain dalam tempoh sama dengan liga besar luar negara.
Penambahan kuota import dilihat hanya akan menguntungkan pasukan berkemampuan seperti Selangor. — Facebook/Selangorfc
"Kehadiran pemain import ini akan memberi daya tarikan kepada Liga Malaysia sekali gus meningkatkan nilai komersial Liga Malaysia dan kelab-kelab yang bertanding," tambah MFL dalam kenyataannya.
"Untunglah pasukan-pasukan kaya,” kata bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail merujuk kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC. “Yang ada duit, mereka boleh beli pemain-pemain bagus tapi itulah realitinya (dalam era profesional) dan di negara lain juga.
"Bagi saya, 15 atau 20 pemain import dibenarkan sekalipun tak jadi soal, bergantung atas kebijaksanaan kelab untuk menentukan kemampuan kewangan mereka, berbaloi atau tidak. Jika tidak berbaloi, ambil dua atau tiga (import) saja,” tambahnya.
Seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar, berpandangan bahawa perubahan yang dilakukan itu terlalu drastik meskipun semua kelab tidak diwajibkan untuk memenuhi kuota 15 pemain asing, sebaliknya terserah kepada kemampuan masing-masing.
"Secara peribadi, saya berasa sedih dan dukacita, terutama untuk pemain tempatan. Kita memang inginkan liga yang kompetitif, yang boleh bersaing, penuh dengan pemain berkaliber, tapi adakah ini jalannya?.
"Apabila ada 15 pemain import, apa nasib pemain tempatan kita nanti? Ini yang saya sangat takut akan berlaku kerana kita perlu fikirkan kesan jangka panjang terhadap pemain dan ekosistem bola sepak kita," katanya.
Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail. — Agensi
Senada dengan kedua-duanya, bekas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Che Mat Jusoh berkata, keputusan terbaru MFL itu bakal merencat dan merosakkan pembangunan bola sepak negara, terutama bakat muda.
"Jika tanya saya, 100 peratus saya tidak setuju kerana ia bukan hanya membebankan pasukan, malah boleh merugikan pembangunan bola sepak negara. Ia juga boleh merugikan bakat pemain tempatan yang sudah tentu kerap memanaskan bangku simpanan kerana perlu bersaing dengan pemain import.
"Pada masa sama akan wujud jurang yang terlalu jauh antara sesebuah pasukan yang mampu dan tidak mampu. Benar ukur baju di badan sendiri tapi bagi mengelak menjadi pasukan belasahan, mungkin akan ada sesetengah pasukan terpaksa berhutang untuk mendapatkan tonggak import.
"Jadi saya saran pasukan yang tidak mampu lebih baik tarik diri awal sebagaimana Perak FC. Saya juga bimbang jurulatih tempatan akan gulung tikar kerana sudah pasti pemain import besar kepala jika mereka ramai dalam pasukan," katanya.
Sebagai perbandingan, Liga 1 Thailand juga dilaporkan membenarkan tujuh pemain import -- termasuk dua pemain Asean – pada satu-satu masa dalam pertambahan kuota import bagi musim 2025/2026.
Pasukan yang bersaing dalam liga utama Thailand juga boleh menandatangani pemain Asean tanpa had bagi memberi ruang kepada pasukan yang akan bersaing dalam ACLE dan ACL2.
Pada masa sama, Liga 1 Indonesia juga dilaporkan sedang menimbangkan pertambahan kuota import kepada 11 pemain musim depan. Lapan pemain import bakal dibenarkan beraksi di atas padang berbanding enam pemain sebelum ini.
Dalam hubungan ini, MFL mungkin hanya mengikut peredaran masa tapi kesudahannya terpulang kepada pasukan-pasukan sendiri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram