Sertai Liga A1, Kedah patut panggil 3 pemain lokal termasuk simbolik kesetiaan


  • Podium
  • Ahad, 01 Jun 2025

Skuad Sang Kenari gagal memperolehi lesen kebangsaan bagi saingan musim depan. — Facebook/KDA FC

KEGAGALAN tidak mendapat Lesen Kebangsaan untuk saingan Liga Super musim 2024/2025 tidak membuatkan Kedah Darul Aman (KDA) FC mengangkat bendera putih daripada terus beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M). 

Menerusi kenyataan dikeluarkan pada Sabtu, skuad Sang Kenari menyatakan hasrat untuk menyertai saingan Liga A1 Semi Pro dengan langkah tersebut diambil sebagai cara membangunkan pasukan yang lebih stabil, tersusun dan telus.

Skuad Sang Kenari menjadi salah satu pasukan gergasi tanah air yang gagal memperolehi lesen kebangsaan daripada MFL di samping Perak FC selepas tidak menepati kriteria kewangan ditetapkan.

BACA LAGI: ‘Bukan penamat’, Kedah pilih Liga A1 demi misi hidupkan legasi

BACA LAGI: Nabil Latpi rentas sempadan, tinggalkan Penang sertai skuad futsal Kedah

Perkara itu berpunca daripada masalah berpanjangan dialami kedua-dua kelab tersebut musim lalu dengan laporan mengatakan pemain dan staf kejurulatihan tidak menerima bayaran gaji untuk beberapa bulan.

Dalam kenyataan juga memaklumkan bahawa pemilik majoriti kelab iaitu Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar akan mengadakan pertemuan bersama bekas pemain, barisan kejurulatihan dan kakitangan kelab dalam masa terdekat.

"Pertemuan tersebut bertujuan mencari solusi dan penyelesaian kepada isu tunggakan gaji secara teratur dan adil, demi menjaga kebajikan serta profesionalisme semua yang terlibat," demikian menurut kenyataan itu.

Melihat kepada kesungguhan Kedah untuk 'reset' kelab, pihak pengurusan juga boleh menggunakan pemain lokal berkualiti susulan ia tidak mengeluarkan wang yang banyak seperti merekrut bintang import.

1) Aiman Afif 

Aiman Afif antara pemain muda yang menyerlah dalam skuad Kedah. — Facebook/KDAFC

Pemain muda skuad Sang Kenari, Aiman Afif dilihat sebagai calon sesuai untuk dipanggil semula bagi memperkuatkan pasukan dalam saingan Liga A1 Semi Pro apabila sebelum ini menunjukkan potensi besar dalam skuad utama.

Pengalaman Aiman yang beraksi dalam saingan Liga Super, Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) membuktikan bahawa pemain berusia 24 tahun berkenaan mempunyai keyakinan untuk bersaing dalam mana-mana kejohanan. 

Tidak dinafikan Aiman hanya mencatat satu gol dan dua bantuan jaringan dalam 29 penampilan untuk Kedah sejak 2020, namun penglibatannya dalam perlawanan kompetitif menentang pasukan besar memberikan dia pendedahan berbeza dari pemain muda lain. 

Selain itu, Aiman juga merupakan seorang pemain versatil apabila tonggak skuad kebangsaan bawah 23 tahun berkenaan boleh bermain di posisi tengah menyerang, penyerang dan sebagai pemain sayap. 

Dari sudut pembangunan pemain, merekrut Aiman juga sejajar dengan matlamat pembangunan akar umbi Kedah untuk memberi peluang kepada pemain muda menyerlah dan sekali gus memastikan kesinambungan prestasi skuad Kedah dalam jangka panjang. 

2) Faizal Talib 

Faizal sesuai dipanggil semula Kedah. — Facebook/KDAFC

Nama Faizal Talib pernah meniti di bibir penyokong Sang Kenari selepas penyerang sayap kanan berkenaan menyinar bersama KDA FC B dan selepas itu khidmatnya juga sempat digunakan skuad utama pada kempen 2023. 

Musim 2023 bagaimanapun bukan kempen yang baik untuk Faizal di Kedah apabila dia hanya sempat diturunkan sebanyak dua kali kerana terdapat lambakan pilihan lain dalam posisi tersebut.

Selepas itu, bekas pemain Penang FC untuk menyertai Kelantan Darul Naim (KDN) FC pada awal musim 2024/2025 sebelum akhirnya berkelana ke Melaka FC pada September 2024 untuk membantu Hang Tuah bagi kejohanan Liga A1 Semi Pro. 

Pengalamannya dalam saingan tersebut pasti boleh membantu kelab berpangkalan di Utara tanah air berkenaan pada musim baharu nanti dengan khidmatnya akan digunakan untuk memperkasa  jentera serangan. 

Faizal terkenal dengan kepantasan serta kebolehannya mencipta peluang dari bahagian sayap. Dua kebolehan itu sangat diperlukan skuad Sang Kenari bagi menambah variasi dalam serangan pada saingan Liga A1 Semi Pro. 

3) Ifwat Akmal 

Ifwat sudah bersama Kedah sejak 2016. — Facebook/KDAFC

Penjaga gol berpengalaman Kedah, Ifwat Akmal boleh dianggap sebagai simbol kesetiaan Sang Kenari apabila pemain berkenaan tidak pernah berhijrah ke kelab lain walaupun badai besar seperti isu gaji melanda Hijau Kuning.

Di permulaan kariernya bersama skuad Sang Kenari, Ifwat dilihat mempunyai potensi besar menjadi penjaga gol ulung buat Sang Kenari hinggakan dia sering dipanggil menyertai skuad kebangsaan.

Meskipun sedikit demi sedikit peranannya dalam skuad mula mengecil pada musim 2024/2025, Ifwat tidak pernah merajuk dan berhasil mendapatkan semula tempatnya selepas Kalamullah Al-Hafiz memutuskan berhijrah ke Selangor. 

Menjadi pemain Kedah sejak 2016, tidak terkejut jika pihak pengurusan masih mahu mendapatkan khidmat penjaga gol berusia 29 tahun berkenaan menjadi benteng terakhir mereka dalam saingan Liga A1 Semi Pro. 

Sepanjang sembilan tahun bersama Kedah, penjaga gol berketinggian 1.78 meter berkenaan membantu Sang Kenari mendapatkan trofi Piala FA musim 2016/2017 dan 2018/2019 serta Piala Sumbangsih 2017. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram