Menitis air mata 'terserempak' wajah persis arwah nenek di Makkah, doa dimakbulkan


  • Cinta
  • Ahad, 01 Jun 2025

Nabila (kiri) tidak menyangka mampu bertemu dengan individu yang mirip wajah neneknya di Makkah.

TANAH Suci Makkah menjadi tempat jutaan umat Islam mencari keampunan, memohon doa dan melepaskan rindu kepada Yang Maha Esa.

Namun, bagi sebilangan jemaah, perjalanan ke kota suci itu turut menghadirkan suatu memori yang bermakna iaitu pertemuan tidak disangka dengan individu yang mereka rindu terutama ahli keluarga yang telah menghadap ilahi.

Baru-baru ini, tular di laman TikTok sebuah video menyentuh hati yang dimuat naik oleh seorang wanita, Nabila Othman.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Umur 93 tahun, muka awet muda', rupa-rupanya ini rahsia cantik, sihat Presiden Universiti Gachon

BACA LAGI: Lepas 'berhijrah' ke Pulau Siargao, Ben Amir buka Rasa Siargao perkenal masakan Malaysia

Nabila memuat naik gambar wanita yang dijumpai di Makkah (kiri) dengan arwah neneknya (kanan).

Dalam video itu, Nabila memaparkan dua gambar iaitu satu milik arwah neneknya yang telah meninggal dunia pada 2014 dan satu lagi gambar warga emas wanita ditemuinya di Makkah pada 3 Mei 2025.

Lebih mengejutkan, kedua-dua wajah itu kelihatan serupa tanpa sedikit pun perbezaan dari sudut warna kulit dan paras rupa.

“Mereka kata nenek saya sudah meninggal dunia pada 2014… tetapi saya melihatnya di Makkah, pada 3 Mei 2025,” tulis Nabila.

Perkongsian itu turut membuka ruang luahan buat ramai individu yang turut menyimpan hasrat bertemu semula wajah-wajah tersayang, walaupun hanya melalui insan lain memiliki rupa serupa.

Seorang pengguna, Malak.shadyy berkongsi kisah mengenai arwah ayah kepada teman lelakinya yang berpeluang menemui sosok yang mirip teman lelakinya itu.

“Teman lelaki saya meninggal pada 13 November 2024. Beberapa bulan selepas itu, ayahnya menunaikan umrah. Di Makkah, beliau ternampak seorang lelaki mirip dengan arwah anaknya dan seorang gadis seiras saya.”*

Seorang lagi pengguna, Km berkongsi kisah daripada neneknya yang mengalami situasi hampir sama.

“Ketika sedang menunggu sahabatnya di Makkah, nenek saya kehausan. Tiba-tiba, datang seorang lelaki dan memberikan air serta makanan. Nenek saya terkedu lihat wajah lelaki itu persis arwah ayahnya. Dia tidak mampu berkata apa-apa… hanya menangis," katanya.

Pengguna lain, Imaan Anders masih tidak dapat melupakan situasi yang berlaku kepadanya semasa berada di Tanah Suci pada bulan Ramadan tahun ini.

“Saya kehilangan ayah pada 2016. Tahun ini, di Makkah, seorang lelaki yang wajahnya persis ayah menolak saya perlahan ke arah Kaabah… hingga saya berjaya menyentuhnya.

"Selepas itu, dia menghilang begitu sahaja. Saya berdiri lama di situ. Air mata saya jatuh tanpa henti. Kejadian tu berlaku waktu Ramadan tahun ini," katanya.

Pengalaman-pengalaman luar biasa itu membuka ruang kepada ramai pengguna TikTok untuk berkongsi harapan yang mereka simpan dalam diam.

"Saya teringin benar ke Makkah. Siapa tahu, mungkin saya dapat melihat wajah yang seakan-akan arwah mak dan ayah saya,” luah N.nrdyh.

"Ibu saya pernah cerita. Semasa arwah datuk menunaikan umrah, beliau bertemu seseorang yang wajahnya saling tak tumpah seperti arwah ayahnya. Mereka berbual panjang. Datuk saya akhirnya tertidur di riba lelaki itu, atuk saya rasa macam itu betul-betul ayah dia," kongsi Yveshunlaurent. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram