
SEORANG wanita berusia 40 tahun diselamatkan daripada keadaan tidak berperikemanusiaan selepas ditemui dirantai dan dikurung dalam rumahnya sendiri oleh ahli keluarganya di kawasan Rajarampuri, Kolhapur, Maharashtra, India.
Kejadian terbongkar apabila pihak polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai seorang wanita yang dipercayai dikurung di sebuah kediaman. Setibanya di lokasi, polis kemudiannya menemui wanita itu dalam keadaan terikat dengan rantai besi yang dikunci di dalam rumah.
Menurut kenyataan awal polis, wanita itu dipercayai dikurung oleh ahli keluarga terdekatnya termasuk anak saudara, abang dan kakak iparnya. Ketika diselamatkan, mangsa berada dalam keadaan sangat lemah dan trauma, serta sukar untuk berjalan dengan normal.
BACA LAGI: [VIDEO] Kali pertama dakap trofi UCL, penyokong PSG sambut kejayaan sampai 'terbakar' Paris
BACA LAGI: 'Anak tumbuk mata', Elon Musk jelas kesan lebam ketika hadir majlis bersama Trump
Mangsa memberitahu pihak berkuasa bahawa dia dilarang keluar rumah dan dirantai oleh keluarganya sendiri, kononnya atas alasan keselamatan.
Difahamkan, wanita tersebut mengalami masalah kesihatan mental dan ahli keluarganya mendakwa tindakan mengikatnya dilakukan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini, tetapi tindakan itu mengundang kecaman kerana dianggap melampaui batas dan mencabuli hak asasi manusia.
Dalam pada itu, Inspektor Ravindra Kalamkar yang mengetuai operasi menyelamat memberitahu bahawa wanita berkenaan sudah hidup dalam keadaan itu selama lebih sebulan, berdasarkan keterangan awal yang diberikan.
“Kami menerima maklumat berkaitan penahanan seorang wanita oleh keluarganya sendiri. Setelah siasatan awal mengesahkan perkara tersebut, mangsa segera dibawa keluar dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.
Wanita terbabit kini menerima rawatan di hospital kerajaan, manakala pihak polis juga sudah membuka kertas siasatan dan akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang.
Pihak berkuasa juga sedang menyiasat sama ada terdapat unsur pengabaian, penderaan, atau pelanggaran undang-undang berkaitan penjagaan individu yang mengalami gangguan mental. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram