[VIDEO] Tak takut tunai permintaan 'pelik' pelanggan, anak jati Pahang sedia solusi majlis perkahwinan bermakna buat pengantin


  • Bisnes
  • Khamis, 05 Jun 2025

Usaha Bishrul (tengah) tidak pernah putus demi mempertahankan perniagaannya.

TIDAK semua kemegahan dan kejayaan bermula dengan langkah meyakinkan.

Lumrah dalam dunia perniagaan, jatuh bangun bagaikan sudah menjadi asam garam buat para usahawan.

Begitu juga dengan pengasas Arties Grand Hall, sebuah syarikat penyedia perkhidmatan acara perkahwinan di Kuala Rompin, Pahang.

Bermula secara kecil-kecilan, Bishrul Haffi Alias, 38, membuat keputusan untuk menyediakan perkhidmatan fotografi perkahwinan secara sambilan selepas menamatkan pengajian di peringkat diploma pada 2008.

BACA LAGI: Rebut peluang menang RM500, cipta slogan menarik filem pendek 'JETAMA | Kaamatan 2025: Tahun Depan'

BACA LAGI: Anak jati Sabah diejek strawberi dan 'two-face', Rozella Marie bangkit 'bersuara' menerusi muzik

Bishrul (kanan) dan isterinya (kanan) pengasas Arties Grand Hall. — Instagram/Bishrul

Dengan secebis keberanian, Bishrul dan isterinya, Norhayati Mamat, 38, bersama berganding bahu membuka studio fotografi dan spa kecantikan sebelum menubuhkan dewan perkahwinan.

Diasaskan sejak 2012, Arties Grand Hall kini mempunyai lebih lima perkhidmatan dalam menjayakan sesebuah majlis perkahwinan.

Selain katering dan pengatur acara, Arties Global Sdn Bhd turut menyediakan khidmat seperti sewaan dewan berkapasiti besar, pembersihan dan logistik.

"Setakat ini, saya memang beri fokus sepenuhnya untuk kembangkan bisnes di Rompin sahaja.

"Sebab visi kami juga tertumpu pada golongan di luar bandar yang mahu menjayakan majli perkahwinan mereka dengan tenang dan teratur," katanya kepada Majoriti.

Rugi 6 bulan pertama

Namun, di sebalik kejayaan itu, siapa sangka mereka pernah berada di titik terendah dan cabaran besar ketika awal penubuhan Arties Grand Hall.

Bagi Bishrul, memulakan perniagaan tanpa ilmu dan pengalaman sememangnya satu risiko besar, apatah lagi apabila melibatkan pelaburan modal yang besar.

Arties Grand Hall yang hanya ditubuhkan di Rompin, Pahang.

"Tanpa ilmu memang kita biasanya jumpa jalan buntu. Untuk tempoh tiga tahun pertama memang saya rugi kira-kira RM180,000.

"Paling menarik bila enam bulan pertama itu kami tidak terima sebarang tempahan langsung.

"Waktu itu saya sewa kedai pertama untuk jadikan pejabat edai pertama dan ia sahaja memakan modal sebanyak RM40,000 ke RM50,000 untuk hiasan dalaman, dekorasi dan ubahsuai," kongsi graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.

Disebabkan pengeluaran modal terlalau tinggi dan tiada pulangan untung, Bishrul membuat keputusan untuk mengubah strategi dengan menjadikan kedai tersebut sebagai dewan.

Katanya, dewan tersebut dijadikan untuk pengurusan acara perkahwinan pada 2022 iaitu pasca pandemik Covid-19.

Bishrul berkata, pelbagai usaha dilakukannya untuk mempertahankan perniagaannya sehingga sekarang.

"Sepanjang tempoh itu, saya buat keputusan berniaga tepi jalan, buka khemah jual makanan dan ada kala ambil tempahan katering kecil.

"Produk kami ketika itu adalah nasi kenduri kahwin dan kami buka empat ke lima khemah tepi jalan.

"Bila waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pula ramai tak boleh keluar, jadi kami ambil peluang untuk buat penghantaran makanan.

"Alhamdulillah, dengan cara itu, perlahan-lahan kami dapat baiki kemahiran dan bertahan," jelasnya.

Katanya lagi, detik itu secara tidak langsung mengajarnya untuk lebih mendalami ilmu perniagaan dan memahami permintaan pelanggan setempat.

Dewan yang disediakan dan dihias mengikut permintaan pelanggan.

Tuntut ilmu sifu

Belajar dari kesilapan, Bishrul nekad keluar daripada zon selesa dan mula melibatkan diri dalam seminar-seminar usahawan.

Menurutnya, komuniti usahawan dalam persekitarannya memainkan peranan penting dalam mengembangkan lagi perniagaannya.

Nama Arties Grand Hall juga sedikit demi sedikit dikenali ramai sehingga dalam kalangan selebriti tempatan seperti Izara Aishah yang pernah menggunakan perkhidmatannya.

"Saya juga banyak berkenal-kenal dengan usahawan dalam industri perkahwinan dan antaranya adalah Nas Great Idea.

"Dia banyak juga bantu saya buat kenalan dengan lebih meluas," ujarnya.

Tunai permintaan unik pelanggan

Lebih 10 tahun berpengalama dalam dunia aturcara majlis perkahwinan, Bishrul tidak sama sekali gentar untuk mencuba membuat sesuatu pembaharuan.

Katanya, setiap permintaan pelanggan perlu diteliti dan ditunaikan meskipun ia mungkin mustahil untuk dilakukan.

Antara momen tidak dapat dilupakannya sehingga kini adalah ketika menjayakan majlis perkahwinan secara terapung.

 

 

 

"Kami pertama kali buat majlis perkahwinan pelanggan atas kolam di sebuah inap desa di Rompin.

"Kami perlu sediakan pelamin terapung atas kolam dan pastikan ia kukuh.

"Ada juga yang minta kami buat secara outdoor macam tepi pantai dan kami tetap tunaikan," katanya.

Baginya, permintaan unik sedemikian mampu membantu meningkatkan kemahiran Bishrul dan pasukannya dalam melaksanakan majlis yang bervariasi.

Bishrul juga tidak menafikan bahawa ia sangat penting untuk profil syarikatnya seiring dengan peredaran zaman.

Ditambah pula dengan pelbagai trend baharu yang muncul dan digemari generasi muda sekarang.

"Kalau dahulu orang lebih suka buat majlis besar-besaran, tetapi sekarang kami perasan trend itu dah bertukar.

"Ada yang lebih gemar buat secara kecil serendah 50 orang, hiasan pula lebih minimalis dan estetik," ceritanya.

Di samping menjayakan majlis, Bishrul juga tidak menolak bahawa mereka perlu cekap dalam menangani konflik terutama melibatkan ibu bapa atau keluarga pengantin.

Baginya, ia antara cabaran yang tidak dapat dielakkan kerana ia adalah majlis bermakna dalam hidup seseorang atau mungkin ahli keluarga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram