
SIAPA sangka wanita berusia 93 tahun boleh kelihatan seperti separuh daripada usianya?
Itulah Presiden Universiti Gachon di Korea Selatan, Lee Gil-ya yang baru-baru ini tular selepas muncul dalam satu video rasmi universiti dengan gaya duduk tegap, penuh semangat dan berkeyakinan ketika berbicara tentang masa depan teknologi dan kecerdasan buatan.
Ramai penonton tidak dapat menyembunyikan rasa kagum terhadap penampilannya yang awet muda iaitu rambut lebat, kulit berseri dan aura penuh tenaga.
BACA LAGI: Sudah diet, bersenaman tapi perut masih buncit? Ketahui 9 punca 'belly fat' ramai terlepas pandang
BACA LAGI: Lepas 'berhijrah' ke Pulau Siargao, Ben Amir buka Rasa Siargao perkenal masakan Malaysia
Di media sosial, ada warga maya yang menggelarnya 'wanita 93 tahun paling muda di Korea' dan ada juga yang berseloroh, 'Dia ni vampire ke?'.
Walaupun ramai mempersoalkan sama ada penampilannya semula jadi atau hasil rawatan moden, Gil-ya tidak berahsia tentang rahsia penjagaan dirinya.
Dalam satu temu bual bersama Herald Business, Gil-ya mendedahkan bahawa mengamalkan gaya hidup sihat sejak dulu iaitu meminum sekurang-kurangnya 1.5 liter air setiap hari, menggantikan kopi dengan teh, tidak merokok atau mengambil alkohol serta memastikan rumahnya sentiasa menggunakan humidifier.
“Saya juga menjalani rawatan laser secara berkala di Jabatan Dermatologi Hospital Gil sejak 10 tahun lalu,” katanya.
Tambahnya lagi, rahsia utama adalah melakukan perkara-perkara kecil secara konsisten setiap hari iaitu rutin teratur, mengelakkan tekanan dan menjauhkan diri daripada bahan rangsangan.
Gil-ya bukan sekadar wajah awet muda, tetapi beliau simbol dedikasi dan kecemerlangan dalam dunia perubatan dan pendidikan Korea Selatan.
Lahir pada 1932, beliau memulakan pengajian perubatan di Universiti Kebangsaan Seoul pada 1951 dan menamatkan pengajian pada 1957.
Beliau menjalani latihan di Hospital Mary Immaculate di Amerika Syarikat dan kemudiannya menamatkan residensi di Queen’s Hospital Center pada tahun 1968.
Tidak terhenti di situ, beliau memperoleh ijazah kedoktoran daripada Universiti Jepun pada 1977.
Didorong oleh kenangan zaman kanak-kanak melihat orang miskin meninggal dunia tanpa rawatan, Gil-ya mengasaskan Yayasan Perubatan Gil dan Universiti Perubatan Gachon, yang kini menjadi Universiti Gachon.
Beliau kini memegang jawatan presiden universiti tersebut, selain pernah menerajui pelbagai institusi pendidikan dan budaya.
Sumbangannya dalam bidang perubatan dan pendidikan telah diiktiraf dengan pelbagai anugerah serta ijazah kehormat dari dalam dan luar negara. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram