
PAGI yang biasa di Jalan Bangsar, Kuala Lumpur bertukar menjadi pengalaman tidak akan dilupakan oleh seorang wanita apabila keretanya tiba-tiba mengeluarkan asap dan terbakar, di tengah kesibukan jalan raya.
Seperti mana-mana pemandu, perkara sebegini sememangnya tidak dijangka.
Apatah lagi memandu sendirian, ditambah pula rasa cemas dan panik yang datang serentak.
BACA LAGI: Pegang pintu untuk orang lain antara 7 ciri personaliti hebat, bukan perbuatan 'biasa-biasa'
BACA LAGI: Elak merempat, perunding insurans ada nasihat berharga buat pemilik rumah di Malaysia
Namun bagi Lilian Wong, kejadian cemas itu berubah menjadi detik menyentuh hati apabila orang ramai mula menghulurkan bantuan tanpa diminta.
Dalam kekalutan, muncul seorang lelaki pemandu penghantar makanan yang terus mengambil inisiatif menenangkan keadaan.
Pemuda berkenaan bukan sekadar tanya keadaan beliau, malah memberi arahan jelas untuk menghubungi talian kecemasan, meletakkan bangku untuk mengalihkan trafik dan memastikan Lilian dan barang-barangnya kekal selamat.
Keadaan kereta Lilian semasa terbakar. — Lilianwong60
Beberapa minit selepas itu, bomba dan polis tiba untuk memadamkan api dan menjalankan siasatan.
Sementara itu, anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut dihubungi dan menguruskan penundaan kereta agar tidak mengganggu lalu lintas lebih lama.
Keseluruhan proses itu selesai dalam masa lebih kurang dua jam, sesuatu yang jarang dapat kita lihat berlaku begitu cekap.
Lebih menyentuh hati, bantuan yang diterima bukan hanya datang daripada satu arah.
Seorang lelaki berhampiran turut bertindak segera menggunakan alat pemadam api miliknya sendiri.
Beberapa individu yang sedang menyiram pokok di pembahagi jalan turut berhenti kerja seketika dan menawarkan pertolongan.
Bahkan, pemandu-pemandu yang lalu di situ juga sempat berhenti untuk memastikan Lilian tidak apa-apa dan memberi sokongan moral.
Lilian bersama petugas penghantar makanan yang membantunya semasa insiden tersebut. — Lilianwong60
Melalui perkongsiannya di media sosial Threads, Lilian meluahkan rasa syukur dan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang telah membantu.
Beliau menyedari bahawa dalam dunia yang sering digambarkan penuh dengan kesibukan dan sikap mementingkan diri, masih ramai mempunyai hati murni apabila bukan sekadar melihat seseorang dalam kesusahan, bahkan tidak teragak-agak untuk bertindak.
Daripada kejadian yang mengejutkan itu, lahir satu momen kemanusiaan yang luar biasa.
Di sebalik asap dan api, muncul keberanian, keprihatinan dan rasa kebersamaan yang jarang ditemui.
Mungkin, itulah yang akan terus diingati oleh Lilian, bahawa walaupun keretanya musnah, semangat rakyat Malaysia untuk membantu tetap menyala. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram