[VIDEO] Tenang pada usia 16 tahun, tak mustahil feeder PSM Mavericks jadi pengganti Farhan Adam


  • Podium
  • Sabtu, 31 Mei 2025

Wan Zulhakim menjadi nadi utama pasukan yang menundukkan Bomba Fighters dalam hari pertama STL Divisyen 1. — Facebook/STL

SAINGAN Liga Sepak Takraw (STL) Divisyen 1 sudah membuka tirainya pada Rabu lalu dengan format baharu diperkenalkan hanya menaikkan kemeriahan bagi semua perlawanan yang bakal berlangsung di Stadium Sukpa, Kuantan, Pahang.

Antara pasukan yang pasti menarik untuk disaksikan ialah PSM Mavericks yang memulakan kempen kali ini dengan pertemuan menentang Bomba Fighters pada hari kedua saingan dengan lawan mereka itu tidak boleh dipandang mudah.

Bagaimanapun, PSM Mavericks yang dikendalikan Izwan Abd Latiff mencipta kejutan apabila berjaya menumpskan pasukan lawan yang dibarisi pemain pengalaman serta import Thailand, Pongsatorn Phong-udtha.

BACA LAGI: [VIDEO] Ahmad Jais akui skuad takraw kebangsaan sukar serap serangan konsisten Sittipong, antara punca tersungkur

BACA LAGI: Malaysia tambah kejuaraan di Titiwangsa, regu takraw kebangsaan menang straight set malukan Thailand

PSM Mavericks mencipta kejutan dengan menundukkan Bomba Fighters pada hari pertama saingan.

Lebih menarik lagi, PSM Mavericks memberi kepercayaan penuh kepada pemain berusia 16 tahun, Wan Zulhakim Wan Sablee yang beraksi sebagai apit kiri dengan dia berada dalam senarai pemula.

Aksi memuakau 'ubi muda' sepak takraw itu mencuri perhatian ramai dengan laman Facebook WarisanTakraw.my berkongsi klip permainannya yang membuka mata ramai peminat mengenai bakat dimilikinya.

Zulhakim yang diberi kepercayaan sebagai kapten pasukan berkali-kali memberi umpanan kemas buat apit kanan PSM Mavericks, Zulfaiz Azeme untuk memastikan kemenangan 15-9, 15-12 ke atas Bomba Fighters.

Tidak cukup dengan itu, apit kiri PSM Mavericks tersebut juga mudah mematahkan rejaman deras pihak lawan sehingga membuatkan penyokong percaya masa depannya cerah jika diberikan pendedahan berterusan.

"Saya tonton perlawanan ini sehingga habis, terpegun dengan kualiti feeder PSM Mavericks ini. Tubuh badan kecil dan umur baru mencecah 16 tahun, tetapi kawalan bola dan gelanggang sangat kemas.

"Pada awalnya, nampak tekong lawan menyerang dia, namun dia mudah membalas servis, sangat tenang dan berani. Didik dan berikan latihan secukupnya, boleh ganti Farhan Adam nanti," kata Roslan Husin.

"Jangan diabaikan pemain berbakat ini. Persatuan perlu menjaganya dengan baik, lebih-lebih lagi dari segi kebajikan. Jurulatih perlu terus menggilap bakatnya. Semoga dia terus cemerlang," kata Sharudin Sarimin.

"Itulah pentingnya memberi peluang kepada pemain tempatan, hebatkan lagi pembangunan bakat-bakat muda, bukannya menambah pemain import seperti yang berlaku dalam dunia bola sepak. Susah-susah lahirkan pemain tempatan berbakat, akhirnya hanya duduk di bangku simpanan," kata Noor Sahedah Ishak.

Ramai mengharapkan Zulhakim mampu menggantikan Farhan Adam dalam skuad kebangsaan pada tahun-tahun akan datang. Facebook/STL

Berdasarkan carian di laman sesawang, Zulhakim yang turut dikenali sebagai T-Team difahamkan anak jati Papar, Sabah dan kini menuntut di Sekolah Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur (KL).

Potensi dimilikinya perlu diasah secara berterusan dengan penyokong sudah tentu mengharapkan namanya akan berada dalam senarai skuad kebangsaan pada tahun-tahun akan datang, lebih-lebih lagi sekiranya dapat membantu PSM Mavericks ke tahap lebih tinggi.

Rentak PSM Mavericks dalam STL Divisyen 1 bagaimanapun sedikit terganggu apabila mereka mengalami kekalahan dalam perlawanan kedua menentang Kedah Eagles pada Jumaat menerusi keputusan 5-15, 5-15. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram